Sunday, 5 November 2023

PAHALA MELAKUKAN AKTIVITI PERTANIAN

 
Bidang pertanian satu kerjaya paling awal. Ia dilakukan sepanjang tamadun kehidupan manusia. Sehebat mana sesebuah tamadun, aktiviti pertanian tetap diutamakan. Bidang pertanian menyediakan keperluan manusia melebihi keperluan lain. Makanan menjadi kerpeluan asas.
 
Dalam Islam, bidang pertanian berkaitan tuntutan maqasid syariah. Ia berkaitan keperluan dan keselamtan. Jadi, individu melakukan aktiviti pertanian memenuhi keperluan diri sendiri dan ummah.
 
Sesiapa melakukan sesuatu dengan niat kebaikan dan kerana Allah, mereka itulah beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. 
 
Rezeki tidak datang bergolek melainkan diusahakan. Taburlah bijih benih dan dijaga dengan sempurna, maka kemudian itu berserahlah kepada Allah menumbuhkan rezeki untuk hamba-Nya yang sentiasa berusaha.  
 
Sesungguhnya Allah menjanjikan ganjaran besar kepada sesiapa melakukan aktiviti pertanian.
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan." (Hadis riwayat Ahmad)
 
Tanah menyediakan rezeki kepada sesiapa yang berusaha menghidupkan dengan aktiviti bercucuk tanam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Carilah rezeki dari khazanah bumi." (Hadis riwayat Tabrani).
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya." (Hadis riwayat Ahmad, Malik dan Bukhari)
 
Sesungguhnya bumi ini dijadikan Allah SWT agar sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tanaman.
 
Firman Allah SWT dalam surah Abasa ayat 27 – 32 yang bermaksud: “Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma (29) Dan taman-taman yang menghijau subur (30) Dan berbagai-bagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput. (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternakan kamu (32).”

No comments:

Post a Comment