Thursday, 15 October 2026

KEMBARA INOVASI PINTAR

 
Kembara Inovasi Pintar. Program ini melambangkan kesungguhan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya menangani keciciran kehadiran murid ke sekolah.

SMK Panggung Jaya adalah sekolah khas untuk anak Orang Asli di Kelantan, di samping pelajar kaum lain di Kampung Panggung Lalat dan kawasan sekitarnya.

Satu daripada masalah utama dihadapi pentadbir sekolah ini ialah keciciran kehadiran pelajar di kalangan orang, terutama yang tinggal jauh di pedalaman. Biarpun asrama disediakan, ia bukan penyelesaian menyeluruh kepada masalah itu.

Justeru, pihak sekolah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa mengambil tindakan proaktif untuk meningkatkan peratusan kehadiran ke sekolah di kalangan anak Orang Asli ke tahap yang lebih baik.

Satu daripada usaha yang dilakukan ialah mendekati ibu bapa pelajar itu sendiri dengan hadir ke petempatan mereka.

Biarpun jauh di pedalaman, dengan cabaran yang bukan sedikit dihadapi terutama jarak dan keadaan jalan yang teruk, pentadbir sekolah yang diketuai sendiri pengetuanya, Mohd Khairul Bahari bin Ismail, menjelajah ke pos-pos petempatan Orang Asli.

Antara program khusus yang diadakan ialah di Pos Hau. Jarak dari bandar Gua Musang lebih kurang 80 kilometer.

Perjalanan ke Pos Hau agak mencabar dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda kerana melalui laluan jalan tanah merah kawasan kampung, ladang dan hutan.

Namun, perjalanan jauh itu lebih jauh lagi harapan dan impian para pentadbir sekolah dan guru dalam mencari sebutir pasir yang mampu digilap dan diasah menjadi permata.

Biarpun berdepan ujian getir menanti, mereka bergerak seiya sekata, sederap selangkah untuk membawa anak- anak ini keluar daripada cabaran yang membelenggu selama ini. Tindakan dilakukan dengan cermat bak kata, menarik rambut dari tepung, dengan tenang dan sabar.