Tuesday, 9 August 2022

UBI BADAK BERUKURAN BESAR

 
Ubi badak popular di kalangan masyarakat Melayu di Pantai Timur Malaysia terutama di Kelantan. Ubi ini ditanam kerana permintaan terhadap ubi badak ini tinggi apabila tiba musim tengkujuh, iaitu antara November hingga Disember. 

Nama lain ubi badak ialah ubi besar. Dinamakan ubi badak mungkin kerana ukuran ubi yang besar. Sebab itu ia turut dikenali dengan nama ubi besar. 

Di sesetengah tempat ianya dikenali dengan nama ubi kenduduk, ubi kelebang, ubi ular, ubi tiang, ubi teropong, ubi nasi, ubi lilin, ubi merah, ubi menjangan, ubi sekok atau ubi manis.

Sebenarnya nama yang berbeza-beza itu juga merujuk kepada jenis berbeza. Ia berbeza pada bentuk ubi, warna isi, rasa dan tekstur isi.

Terdapat dua jenis ubi badak yang menjadi pilihan iaitu ubi badak putih dan ubi badak ungu. Ubi badak putih dan ungu biasanya direbus dan dimakan begitu sahaja kerana isinya agak manis. 

Ubi ini juga boleh dibuat pengat dan beberapa jenis kuih tradisional Kelantan seperti 'koleh'. Ubi badak ungu boleh dijadikan kerepek. 

Pokok ubi badak ialah jenis pokok berbatang lembut yang hidup melilit pada junjungan atau pokok lain. Ia menghasilkan umbisi di dalam tanah yang boleh dimakan. 

Kulit ubi badak agak tebal. Sebab itu, ubi badak boleh disimpan lama selepas dituai jika diletakkan di tempat kering. Kulitnya akan mengering atau menjadi semakin keras jika disimpan lama. Ukuran juga akan sedikit mengecil kerana kandungan air telah meresap keluar. 

Pokok ubi badak boleh dikatakan lasak. Ubi yang disimpan lama akan menghasilkan mata tunas dan terbentuk sulur. Ia akan membesar biarpun tanpa air dan tidak diletakkan di atas tanah. 

Bayangkan betapa subur ia membesar jika diletakkan di atas tanah dan dibaja dengan baik. Jika ada benih atau isi ubi badak, jangan lupa untuk diletakkan di tempat yang sesuai agar ia membesar dan menghasilkan ubi yang juga besar.




No comments:

Post a Comment