Friday, 26 August 2022

KELEBIHAN BERSEDEKAH KETIKA DIRI KEDEKUT

 
Abu Hurairah berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya.’

“Baginda SAW menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka, janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum.

“Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, jelaslah Nabi Muhammad SAW menyatakan, sedekah terbaik adalah ketika diri kita dalam keadaan sihat dan kedekut.

Maksud kedekut di sini ialah ada perasaan sayang kepada harta itu. Berasa tidak ingin memberi kepada orang lain. Seperti ingin memiliki selama-lamanya, dan ingin agar harta itu bertambah-tambah lagi.

Ketika itu memang amat mencabar keimanan, sama ada ingin bersedekah atau terus menyimpan harta yang dimiliki itu. Justeru, Rasulullah SAW menyuruh agar bersegera bersedekah kerana jika dilengah-lengahkan takut nanti niat bersedekah itu akan terus tidak jadi.

Syaitan menjadi kawan rapat si bakhil untuk melahirkan rasa takut membelanjakan kekayaan ke jalan Allah. 

Perkara ini dinyatakan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu melakukan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 219). 

No comments:

Post a Comment