Jambatan Kereta Api Besi Bertam Baru mula dibina sekitar tahun 1928 (lebih kurang setahun sebelum atau
selepas) untuk melengkapkan laluan Gua Musang-Tumpat.
Jambatan yang asalnya dikenali Jambatan Clementi itu diguna
pertama kali pada 05 September 1931, serentak dengan perasmian landasan kereta
api Pantai Timur yang menghubungkan Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan.
Dinamakan Jambatan Clementi mengambil sempena nama Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir
Cecil Clementi. Clementi turut hadir ketika Sultan Kelantan, Sultan Ismail Ibni
Sultan Muhammad ke IV merasmikan laluan pantai timur.
Jambatan Kereta Api Bertam Baru merentasi Sungai Neggiri menghubungkan Kampung
Bertam Lama di utara dan Kampung Bertam Baru di selatan.
Jambatan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan
awal rangkaian kereta api di negara kita. Ia menghubungkan kawasan pedalaman
yang kaya dengan hasil bumi ke pelabuhan pantai timur, menjadi nadi utama
pengangkutan ketika itu.
Semasa Perang Dunia Kedua, ketika fasa mara tentera Jepun,
jambatan ini turut menjadi mangsa diruntuhkan untuk menyekat kemaraan tentera
Jepun. Ia dibaiki selepas perang tamat.
Semasa era Darurat (1948–1960), Jambatan Clementi menjadi
sasaran serangan pihak komunis kerana fungsinya sebagai laluan logistik yang
strategik. Kawasan sekitarnya, termasuk Kampung Bertam Baru, pernah dikenali
sebagai "Great Britain" kerana kawalan keselamatan yang ketat.
Kini, jambatan ini masih digunakan sebagai sebahagian
daripada laluan kereta api "Jungle Railway" yang merentasi Gua Musang
hingga ke Tumpat.
Pada masa lalu,Jambatan Kereta Api Bertam Baru turut
digunakan oleh penduduk kampung melaluinya menggunakan motosikal, basikal atau
berjalan kaki di bahagian tepi landasan yang dibuat pelantar.
Pada asalnya, jambatan ini di bina tanpa laluan motor dan
jalan kaki dan ini membuatkan semua urusan yang berlaku untuk ke kampung
sebelah perlu menggunakan laluan keretapi termasuklah untuk mengebumikan
jenazah kerana tanah perkuburan islam terletak di Kg. Bertam Lama.
Keadaan ini amat berisiko kepada penduduk di Kg. Bertam Baru
kerana terpaksa melalui jambatan tersebut dengan melihat dan mengetahui masa
perjalanan keretapi agar mereka selamat untuk melintasi jambatan tersebut.
Kini, di sebelah jambatan kereta api itu telah dibina
jambatan untuk kegunaan pelbagai kenderaan. Jambatan yang dikenali Jambatan Bertam
Baru itu mula digunakan pada tahun 2024.
No comments:
Post a Comment