Thursday, 1 September 2022

BERHATI-HATI KETIKA BERADA DI PUNCAK KEJAYAAN

 
Tidak ada istilah gagal dalam kamus orang beriman. Apa yang utama adalah setiap kali bertemu titik tepu kehidupan, mereka bangunkan semula kehidupan baharu yang membolehkan bebas mencari ruang dan peluang. 

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama orang yang beriman dan membuahkan keyakinan bahawa perjuangan diteruskan sehingga ke akhir hayat.

Perasaan menyesal dan kecewa dalam perjuangan tidak pernah wujud di hati mereka yang yakin ada Allah SWT. Mereka yakin setiap apa yang dilakukan adalah kerana Allah. Justeru mereka yakin bahawa Allah membalas dengan sesuatu yang baik setiap kebaikan yang dilakukan. Hanya sama ada kebaikan itu dijelmakan di dunia ini atau di akhirat nanti.

Seorang muslim tidak akan masuk dalam kumpulan mereka yang jatuh dan tidak dapat bangun sekali lagi. Hidup ini penuh dengan ketakutan selagi kita tidak robohkan ego "orang yang berjaya." Maka, laungkan kata-kata “aku tidak mengaku kalah dalam perjuangan mencari kebenaran hidup”

Hidup ini keras dengan cabaran dan dugaan. Buktikan diri kuat dan bersedia berjuang. Yang membezakan pemenang dan pecundang hanya satu: pemenang bersemangat bangkit dan ingin terus berdiri saat jatuh, pecundang lebih selesa untuk tetap ada di posisi tempat jatuh dan berterus-terusan menyalahkan takdir.

Ingatlah, kita hidup di di  dunia nyata, bukan dunia selebriti. Bukan dunia glamour berpesta fora yang sedang meracun kehidupan masa kini. Kita perlu sedar bahawa matlamat hidup adalah untuk mencari reda Allah, mendapat sebanyak bekalan kebaikan untuk dibawa ke dunia akhirat.

Ketika kita berjaya berada di puncak, ingatlah ketika itu bukan untuk meraikan bagaikan pesta sambutan ambang Tahun Bahru yang diserikan dengan bunga api. Pendakian ke puncak mengambil masa yang lama dan memerlukan banyak tenaga serta mencabar minda. Namun, jika kita leka di puncak, kejatuhan dan kemusnahan boleh berlaku dengan sekelip mata.

Mereka yang tidak lupa pada hakikat nyata, mereka tahu puncak itu sempit. Tidak boleh berlama lama di situ, menjerit melaung "aku telah berjaya." Biasanya pendaki akan ambil foto merakamkan momen manis kejayaan dan kemudian terus turun menyiapkan diri untuk kembali ke padang luas di tapak perkhemahan meneruskan kehidupan bekerja lebih keras.

Ego "aku telah berjaya" telah terbukti adalah sumpahan besar yang telah membunuh banyak pendaki di puncak kejayaan. Jadi, berhati-hati dan berpada-padalah dalam merayakan kejayaan berada di puncak.

No comments:

Post a Comment