Usahlah
ada antara kita yang berpecah. Jangan ada dalam kalangan kita yang mendabik
dada mengaku bahawa dia sudah diikat utuh bersama kebenaran oleh tali Allah SWT
sedangkan dia sudah menyisih dan menjauhi saudara kita yang lain.
Muslim hidupnya bersatu padu dan setia pada kesatuan yang utuh tanpa berpisah dan bercerai berai. Jikalau seseorang memilih untuk berpisah daripada saudaranya yang lain maka ketahuilah bahawa dia sebenarnya sudah jauh daripada kebenaran. Tali Allah SWT hanya mimpi baginya.
Selain itu, usah pula ada dalam kalangan kita yang menyangka bahawa hanya dirinya sahaja berhak memahami Al-Quran, manakala sebahagian yang lain tidak layak.
Juga jangan pula ada yang berfikiran bahawa hanya dirinya sahaja yang betul dalam memahami kalam Tuhan, manakala orang lain yang mempunyai hujah dan tafsiran berbeza perihal AlQuran itu salah dan sesat.
Al-Quran terkandung dalam pelbagai ilmu bermanfaat yang mampu dilihat dari pelbagai sudut dan aspek. Jangan mudah menyangka orang yang melihat kebenaran dalil dalil Al-Quran dengan kaca mata yang berbeza daripada kita itu adalah sesat.
Jangan menghukum orang lain semudahnya hanya kerana dia mempunyai fahaman yang tidak sama. Selagi suatu pandangan tidak bercanggah dengan syariah maka ia masih diterima.
Hayati apa yang diungkapkan oleh Imam Syafie dalam menangkis sifat bangga diri dan berasa diri sentiasa hebat. Kata beliau: "Apa yang saya anggap benar, mungkin pada hakikatnya ia mengandungi kesalahan. Manakala apa yang dianggap salah pada pandangan orang lain, mungkin pada hakikatnya ia mengandungi kebenaran."
Tiada
hak milik mutlak dalam menentukan kebenaran bagi seseorang. Boleh jadi kita
tersalah dan orang lain benar, mungkin juga sebaliknya. Tambahan lagi
melibatkan isi Al-Quran dan hadis, kerana ke dua dua sumber ini membawa erti
yang luas dan luar biasa.
No comments:
Post a Comment