Sumpah
secara umumnya adalah perkara biasa. Sumpah boleh berlaku pada bila-bila masa,
sama ada dalam mahkamah kalau kes dibawa ke mahkamah atau jika diminta
bersumpah ataupun dibuat di luar mahkamah sesama orang Islam.
Sumpah
dibuat bertujuan mendapat kepastian yang lebih tinggi tentang kebenaran sesuatu
dakwaan. Jika seseorang itu mendakwa sesuatu yang kita tidak pasti, kita boleh
memintanya bersumpah. Jika orang tidak meminta kita bersumpah sekali pun, jika
kita rasa maklumat yang kita beri tidak dapat diterima dengan baik, kita boleh
bersumpah. Ini sumpahan biasa.
Sumpahan
adalah sesuatu yang dibuat secara bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan,
menguatkan dan menyokong kenyataan-kenyataan kita supaya kebenaran dapat
diterima oleh pihak kedua
Tidak
hanya dalam kes jenayah, dalam isu pertikaian harta benda pun boleh bersumpah.
Sumpah juga boleh dibuat untuk menentukan kebenaran kes-kes peribadi.
Bersumpah
dengan menyebut nama Allah. Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi. Ini lafaz-lafaz
sumpah. Lafaz ini hanya digunakan pada perkara-perkara untuk mengukuhkan
kebenaran dan dakwaan supaya pihak kedua boleh menerimanya.
Namun, satu perkara luar biasa dan
jarang diamalkan ialah muhabalah (bersumpah dan memohon Allah melaknat orang
yang berdusta) ada disebut dalam al-Quran. Muhabalah ada dinyatakan dalam
al-Quan.
Firman Allah SWT bermaksud: "Maka
barang siapa yang membantahmu mengenainya (agama) sesudah datang pengetahuan
kepadamu, katakanlah kepada mereka: Marilah kita mengajak anak-anak kami dan
anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu,
diri-diri kami dan diri-diri kamu, kemudian kita bermubahalah (dengan berdoa
dan memohon) menjadikan laknat Allah ke atas ke atas orang-orang yang berdusta.
(Surah Ali Imran, ayat 61)
Latar
belakang turunnya ayat itu ialah ada satu kabilah Nasrani, Bani Najran, di
selatan Semenanjung Tanah Arab bertemu Nabi Muhammad. Mereka ingin mendapatkan
perlindungan keselamatan daripada negara Islam melalui Nabi Muhammad.
Rasulullah
SAW mengajak kabilah itu agar memeluk Islam dan membetulkan pandangan bahawa Nabi Isa itu bukan anak Tuhan. Jika tidak mahu
memeluk Islam, mereka perlu membayar jazyah.
Pada masa sama, kaum Nasrani
kemudiannya meminta baginda mengemukakan bukti siapa lagi anak yang tidak
mempunyai bapa selain Nabi Isa, lalu Nabi berkata, Nabi Adam.
Namun,
kabilah itu tidak mahu menerima jawapan Nabi Muhammad SAW. Disebabkan tiada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian itu, maka baginda
mengajak kaum Nasrani bermuhabalah.
Tetapi
mubahalah tidak berlaku. Orang Nasrani iu takut melakukan mubahalah kerana
merasakan Nabi Muhammad berada di pihak yang betul manakala mereka tidak betul.
Mereka
takut terpaksa menanggung akibat buruk. Akibat itu bukan sahaja menimpa mereka
tetapi turut dilaknat sehingga ke anak cucu. Justeru, kabilah Nasrani membuat
keputusan untuk menerima sahaja permintaan Nabi agar membayar jazyah.
Dengan kata lain, muhabalah hanya
perlu apabila sudah tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Sumpah laknat dikenali
sebagai mubahalah iaitu bermakna saling melaknat sesiapa yang berbohong antara
kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah.
Sumpah
laknat melibatkan orang yang bersumpah itu sendiri. Andai kata apa yang
disumpah tidak betul, sesuatu yang batil, ertinya orang yang bersumpah juga
termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Tapi perkara ini jarang
berlaku.
Apabila
kita bermubahalah, Allah akan memberi balasan buruk kepada mereka yang
berdusta. Apabila kedua-dua belah pihak bermubahalah, mesti ada salah satunya
benar dan salah satunya tidak benar. Melalui ayat itu, Allah menjanjikan
balasan buruk kepada pihak yang tidak benar.
Sesungguhnya,
sumpah laknat sebagai perkara serius kerana ia melibatkan maruah seseorang
penganut Islam dan ia boleh membawa kepada pelbagai reaksi daripada masyarakat
yang pelbagai pengetahuan dan latar belakang.
Di
kalangan pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah, mubahalah dilafazkan hanya pada
kes-kes yang serius dan pada kes-kes yang besar sahaja. Itu pun selepas dirujuk
dengan pelbagai cara lain yang perlu diusahakan untuk menyelesaikan perbalahan
dua pihak tadi. Jika ia masih tidak selesai, akhirnya barulah dirujuk kepada
cara mubahalah.
Dalam
sejarah Syiah, pengikut Syiah banyak merujuk kepada cara mubahalah. Mereka
memang lebih suka cara mubahalah.
Terdapat
beberapa kes mubahalah yang berlaku pada zaman Jaafar al-Sadiq. Orang Syiah
bermubahalah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku pada waktu itu.
Berkaitan
balasan kepada mereka bermubahalah hanya Allah yang tahu. Antara yang mungkin
boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau
lain-lain.
Sumpah
biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan
orang yang berdusta perlu bertaubat.
Mubahalah
tentunya lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada
rahmat Tuhan. Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi
yang kita harapkan?
No comments:
Post a Comment