Thursday, 22 February 2018

PAKAIAN KETAT DIANGGAP TIDAK TUTUP AURAT

Isu menutup aurat wanita perlu difahami betul-betul. Yang dikatakan menutup aurat dan bukan membalut aurat dengan ketat. Berpakaian ketat dianggap tidak menutup aurat. Kalau berjubah sekalipun tetapi ketat sehingga segala bentuk tubuh badan nampak, itu belum dikira menutup aurat.

Wajib menutup aurat dengan erti kata yang sebenarnya. Banyak yang kononnya menutup aurat tetapi hakikatnya tidak. Ketat, jarang dan menampakkan warna kulit, maka itu belum sempurna menutup aurat.

Hendaklah pakaian labuh, longgar, besar, tidak ketat, menutup keseluruhan badan melainkan muka dengan begitu longgar, tidak bertabarruj dan tidak menarik perhatian.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka! Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab, ayat 33).

Pakaian itu mestilah longgar dan tidak ketat. Pakaian yang ketat dan menampakkan susuk tubuh wanita tidak memenuhi maksud menutup aurat kerana ia boleh membangkitkan syahwat dan mendatangkan fitnah serta kerosakan.

Jika bertudung tetapi masih memakai pakaian sehingga menampakkan bentuk buah dada walau bertudung, maka tudung tadi hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi bentuk buah dada tersebut dan pakaian itu juga hendaklah dilonggarkan.

Jika setelah memakai pakaian longgar dan tudung menutupi dada tetapi apabila ditiup angin misalannya sehingga nampak bentuk maka ia dimaafkan kerana sukar dielakkan dan bukan disengajakan.

Jika pakaian sudah longgar dan kain tudungnya sudah menutupi dada maka itu sudah memadai.

Yang pentingnya menutup aurat, tidak menunjukkan bentuk badan, tidak ketat, tudung pula melepasi dadanya, tidak bertabarruj dan tidak jarang, maka dikira menutup aurat, tak kiralah tudung itu tidak bersegi, empat segi atau labuh.

No comments:

Post a Comment