Saturday, 26 May 2018

TUAK MASAM HARAM DIMINUM

Tuak popular di Kelantan sebagai minuman yang lazat dan beraroma. Tuak bagi maksud Kelantan adalah air nira kelapa yang masih baru dan rasanya masih asli. Tuak dihasilkan melalui proses ‘nyadat’ mayang kelapa yang masih dalam seludang (kelopak pembalut mayang kelapa yang masih muda).

Bahagian hujung seludang dipotong sehingga mengena mayang di dalamnya. Seludang yang dipotong perlu diikat rapi untuk mengelak ia berburai. Mayang yang dipotong itu akan dibiarkan beberapa hari sebelum mengeluarkan atau menitiskan air nira.

Untuk mengumpul atau menadah nira, tukil diperbuat daripada buluh digunakan. Namun, sekarang ini tukil banyak dibuat menggunakan botol minuman bersaiz besar yang ‘mulut’ muat untuk dimasukkan seludang kelapa yang diikat itu.

Air tuak menitis perlahan. Jumlah titisan terkumpul untuk setiap hari kira-kira 1 liter. Proses memunggut perlu dilakukan dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang yang mana jumlah setiap tuaian untuk setiap pokok kelapa adalah kira-kira 500ml.

Setiap kali memunggut nira, tok nyadat (orang yang kerja memunggut nira) perlu menyadat (memotong) sedikit bahagian hujung mayang kelapa agar proses pengeluaran nira berteusan. Proses menyadat dilakukan sehingga keseluruhan mayang dipotong yang mengambil masa kira-kira dua minggu dan nira tidak menitis lagi.  

Laghu atau potongan kayu pokok cengal perlu dimasukkan ke dalam tukir. Laghu berfungsi sebagai pengawet semulajadi. Dengan adanya laghu, tuak boleh bertahan sehingga separuh hari tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Tuak kelapa menjadi pilihan untuk menghilangkan dahaga dengan rasa yang amat memikat yang mampu memberi kepuasan kepada penggemarnya.

Tuak yang dibiarkan lebih semalaman akan bertukar rasa masam. Ia masih boleh diminum dan ada penggemar suka minum tuak dibiarkan semalaman. 

Namun, selepas dua atau tiga hari dibiarkan tanpa dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Tuak masam memabukkan jika diminum. Sebab itu orang Islam diharamkan meminum tuak masam. Ia disamakan seperti arak yang diharamkan. 

Tuak yang telah masam tidak dibuang, sebaliknya dikumpulkan untuk diproses menjadi manisan atau gula melaka. Jika dibiarkan dalam tempoh masa lebih lama, tuak akan bertukar menjadi cuka kelapa dan kembali halal untuk digunakan.

Selain nira kelapa, terdapat beberapa jenis nira lain yang keadaan sama dengan nira kelapa iaitu nira nipah, nira kabung dan nira kurma. 

No comments:

Post a Comment