Ideologi Barat mengatakan hal berkaitan seks perlu
ditentukan sendiri oleh individu tanpa ada sekatan dan kongkongan adat atau
agama. Berdasarkan ideologi itu
seseorang bebas melakukan hubungan seks dengan sesiapa disukai. Amalan itu menyerupai cara hidup haiwan dan
bertentangan dengan fitrah manusia yang dianugerahkan Allah SWT dengan akan
fikiran.
Sesungguhnya seks bebas atau zina mendatangkan
pelbagai keburukan kepada pelakunya dan masyarakat. Kes pembuangan bayi dan pengguguran janin
adalah bukti jelas akibat perbuatan zina. Bayi yang baru dilahirkan dibunuh atau dibuang disebabkan ingin menutup
aib perbutan zina yang telah dilakukan.
Allah SWT telah mengingatkan agar perbuatan zina
dijauhi. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu
perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (Surah al-Israk, ayat 32).
Perlakukan zina tidak berlaku jika batas-batas pergaulan
lelaki dan perempuan dijaga sepertimana ditetapkan syariat. Islam membataskan dan menetapkan adab
hubungan di antara lelaki dan perempuan untuk menjaga maruah serta mengelak
perkara buruk terjadi.
Pergaulan bebas lelaki dan perempuan ditegah
kerana ia menjadi punca kepada perbuatan tidak bermoral. Langkah awal penjagaan
diri adalah dengan menahan diri daripada melihat perkara yang boleh mendorong
melakukan perbuatan tidak bermoral.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 30
bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad)
kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.”
Sekiranya melihat perkara haram sudah ditegah,
tentulah lebih-lebih lagi dilarang perbuatan bersentuh-sentuhan melibatkan lelaki
dan perempuan bukan muhrim. Perlakuan
remaja yang tidak segan silu bercumbu dan berpelukan di hadapan orang ramai
mencerminkan masalah keruntuhan moral yang parah. Perbuatan itu mendorong mereka terlajak ke
arah melakukan hubungan seks.
Sesungguhnya hubungan seks hanya halal bagi
pasangan yang telah sah nikah. Malah,
dalam konteks hubungan suami isteri, perbuatan itu adalah satu ibadah jika
dilakukan bagi memenuhi tanggungjawab masing-masing.
Institusi perkahwinan membentuk hubungan yang
bersifat lebih kukuh, ikhlas dan mewujudkan perasaan saling memerlukan di
antara lelaki dan perempuan. Melalui
ikatan perkahwinan, semua pasangan menyimpan harapan agar bahagia sehingga ke
akhir hayat.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Dan antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan
untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan
dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum ayat 21).
Sebaliknya pasangan melakukan zina bertujuan semata-mata
untuk kepuasan hawa nafsu. Hubungan tersebut
diputuskan apabila mereka saling tidak memerlukan untuk terus melakukan hubungan
seks. Hubungan mudah diputuskan
disebabkan tidak ada tanggungjawab atau ikatan rasmi.
Lelaki dan perempuan yang cenderung melakukan seks
hendaklah segera berkahwin untuk mengelak terlibat zina. Seks bagi pasangan suami isteri adalah
perkara yang dituntut untuk memenuhi kehendak batin dan melahirkan zuriat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai
pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka
kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga
kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu,
maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” -
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam masyarakat kita, perempuan mengandung tanpa
suami merupakan aib besar. Sebab itu perempuan berzina berusaha agar tidak
mengandung. Penggunaan kondom dan
mengambil pil pencegah kehamilan dilakukan secara meluas. Namun tidak semua
usaha menutup perbuatan jahat berhasil. Maka,
untuk menutup aib dilakukan pengguguran janim. Perbuatan itu bukan sekadar dosa, tetapi mempertaruhkan nyawa
sendiri.
Perbuatan menggugur janim sama seperti membunuh
anak. Masyarakat Arab Jahilliah membunuh anak perempuan kerana sebab
tertentu. Sebaliknya penzina membunuh anak
yang belum pasti lelaki dan perempuan. Jadi,
mereka lebih jahil daripada orang Arab Jahilliah.
Sekiranya usaha penguguran tidak berjaya dan lahirlah
anak zina, jalan mudah menutup perbuatan buruk yang telah dilakukan ialah
dengan membuang bayi itu. Bayi tidak
berdosa dibuang sama ada ketika masih hidup dan kemudian meninggal disebabkan
tidak mendapat rawatan sewajarnya, atau sengaja dibunuh dan dibuang seperti
bangkai binatang.
Ternyata perbuatan zina memberi kesan amat buruk
kepada pelaku dan masyarakat. Justeru,
usaha mencegah perbuatan zina perlu diberi perhatian. Perasaan benci dan jijik perbuatan zina perlu
ditanam dalam setiap muslim untuk mencegah mereka turut terlibat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang rasa gembira dengan
amalan baik dan rasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri mukmin
sejati.” (Hadis riwayat Tirmizi)
No comments:
Post a Comment