Gejala pembuangan bayi di
negara menunjukkan peningkatan. Ada ketikanya, bayi baru dilahirkan ditamatkan
riwayatnya dengan cara hina seperti dibuang di sungai, tong sampah, mangkuk
tandas dan sebagainya. Ada pula bernasib baik, bayi itu ditinggalkan di tempat
selamat dan akan ada yang mengambilnya.
Sebenarnya, gejala
pembuangan bayi adalah cerminan daripada gaya
hidup tidak sihat yang ditunjukkan sekelompok masyarakat hari ini, tanpa
mengira kaum atau agama. Masyarakat kita sedang melalui satu fasa genting.
Persoalan moral dan akhlak bukan lagi pertimbangan utama dalam setiap
keputusan.
Bagi masyarakat,
persoalan akhlak bukan lagi milik mutlak ahli agama atau ulama Muslim. Akhlak
boleh ditafsirkan sesiapa saja asalkan perkara itu diterima ramai dan menjadi
norma masyarakat. Boleh jadi suatu perbuatan itu dikira berakhlak di sisi
ulama, akan tetapi tidak boleh menyalahkan perbuatan, selain apa yang ulama
iktiraf sebagai berakhlak.
Gejala relativisme
dengan merungkaikan persoalan akhlak tidak berdasarkan aspek abadi adalah suatu
kekeliruan yang nyata. Persoalan ini berkait rapat dengan pandangan dunia
kebaratan yang semakin berakar dalam masyarakat kita.
Antara teras
pertembungan Islam dan Barat ialah Islam tidak mengiktiraf materialisme sebagai
satu fahaman. Manakala Barat menjadikan materialisme sebagai satu teras
fahaman. Ini juga bukan bermaksud Islam menolak konsep materalistik, seperti
pencarian harta, hak pemilikan harta dan penjagaan harta, namun pada masa sama
mengiktiraf bahawa peranan kerohanian adalah pengimbang kepada tuntutan
materialisme yang melingkari kita.
Disebabkan kefahaman dan
keyakinan faktor kerohanian inilah melahirkan sifat mulia dan abadi dalam
kehidupan kita, seperti amanah, berakhlak mulia, jujur, tawaduk, rasa kehambaan
dan sebagainya.
Barat menjadikan faham
materialisme sebagai faktor dominan dalam pandangan alam mereka. Aspek kerohanian
atau ilmu wahyu itu tidak diiktiraf sebagai penting kerana ia tidak boleh
dicapai melalui kajian saintifik dan eksperimen di dalam makmal. Faham
materialisme berakar dalam pandangan alam mereka lalu menyebabkan tindakan
mereka selari dengan kefahaman.
Di Barat, perbuatan
membuang bayi tidak termasuk dalam dosa besar, kerana mereka tidak memasukkan
azab dan dosa dalam kamus kehidupan selepas kematian. Malah di Barat, perbuatan
zina dan seks bebas sudah menjadi norma dan budaya mereka.
Lalu, tidak menjadi isu
jika mereka melahirkan anak luar nikah akibat perbuatan songsang. Mereka
mempunyai kaedah pengurusan 'jenayah' sendiri seperti penggunaan kondom secara
bebas atau pengguguran anak di klinik.
Aspek pengurusan jenayah
yang kemas dan teratur ini adalah asas kepada 'berjayanya' perbuatan jenayah
mereka. Jika mereka faham bahawa seks bebas adalah dosa dan mendatangkan
mudarat, sudah pasti kaedah mengurus 'jenayah' mereka akan kelihatan janggal.
Bagi mereka, sudah buat
berani tanggung! Jadi, isu pembuangan bayi tidak timbul di Barat kerana mereka
mengurus dengan baik dan kemas 'jenayah' yang dilakukan.
Lain pula dengan
masyarakat kita kerana aspek keagamaan masih menebal. Cara pengurusan jenayah itu
seakan janggal dan tidak teratur. Dalam kes pembuangan bayi, wanita yang
melahirkan bayi itu tercermin sikap rasa bersalah kerana melahirkan anak luar
nikah, lalu mengambil keputusan sama ada menamatkan riwayat bayi ataupun
diselamatkan.
Boleh dikatakan, gejala
pembuangan bayi berkaitan kekeliruan pandangan golongan remaja. Kekeliruan
tidak saja kepada orang awam, malah melekat juga kepada golongan ilmuwan dan
pendidik yang dikategorikan sebagai lapisan atas. Mereka menyebarkan faham
kebaratan melalui institusi pendidikan kepada umat Islam. Tidak keterlaluan
juga, mereka semacam 'ejen' tidak rasmi pihak Barat.
Atas dasar itu
masyarakat harus dibimbing supaya pulang ke pangkal jalan dengan mengajak
perlakuan yang berteraskan agama. Persoalan ini harus ditangani dengan kaedah
pendidikan kesedaran dan pencegahan.
Kedua-dua aspek, iaitu
didik dan cegah mesti berjalan seiring. Program pendidikan kesedaran harus
dijadikan modul utama, terutama di kalangan generasi muda. Pada masa sama,
budaya hedonisme perlu disekat sebijak mungkin.
No comments:
Post a Comment