Thursday 1 August 2024

FELDA PERASU CAPAI KEMAJUAN

 
Lokasi dipilih dijadikan kawasan petempatan Felda memang jauh di pedalaman. Kawasan asal dipenuhi hutan dan jauh dari pentempatan manusia. Peneroka berdepan ancaman binatang buas seperti harimau dan gajah. Tidak kurang juga ancaman binatang berbisa seperti ular dan kala jengking. Ancaman wabak penyakit juga amat tinggi.
 
Namun, kini kawasan Felda sudah berubah menjadi kebanggaan seluruh warganya. Kawasan Felda menjadi petempatan yang selesa dan menjanjikan kepuasan atas hasil pengorbanan yang dilakukan peneroka awal.
 
Penghuni Felda kini adalah generasi kedua, selain masih ada peneroka asal  Malah, sedang menikmati kemajuan dan hasil kejayaan Felda adalah generasi ketiga yang masih diperingkan usia kanak-kanak dan remaja.
 
Di Kelantan terdapat 11 rancangan Felda yang dinamakan Felda Wilayah Gua Musang dengan 3114 peneroka melibatkan 17,072.5 hektar kawasan yang dibangunkan. Felda Wilayah Gua Musang bukan sahaja untuk jajahan Gua Musang, tetapi juga jajahan lain di Kelantan seperti Tanah Merah.
 
Salah satu kawasan rancangan Felda di bawah Felda Wilayah Gua Musang ialah Felda Perasu. Felda Perasu terletak di bawah jajahan Gua Musang.
 
Felda Perasu termasuk dalam mukim Chiku. Kedudukannya agak di pedalaman, iaitu kira-kira 12 kilometer dari jalan Kuala Krai-Gua Musang.
 
Namun, tidak sukar untuk sampai ke penampatan Felda Perasu kerana dihubungi dengan jalan raya yang baik. Jalan raya itu memberi kemudahan kepada penduduk untuk ke bandar Gua Musang dan ke lokasi lain.
 
Ada dua jalan masuk ke Felda Perasu iaitu melalui Jalan Perasu dari jalan utama Jalan Kuala Krai-Gua Musang, selepas simpang tiga ke Aring (perjalanan dari Kuala Krai). Laluan kedua ialah menggunakan Jalan Renok Baru bagi pegguna dari arah Gua Musang.
 
Biarpun agak terpencil, kemudahan di Felda Perasu dianggap mencukupi untuk keperluan asas yang selayaknya dinikmati penduduk seperti kemudahan masjid, kemudahan internet, bekalan elektrik, bekalan air bersih, restoran, taman permainan kanak-kanak, pasar, dewan serba guna dan sekolah rendah.
 
Di Felda Perasu juga terdapat inap desa dan tapak perkhemahan yang berjaya menarik banyak pengunjung.
 
Sepertimana kawasan Felda di seluruh negara, aktviti ekonomi penduduk ialah penamanan kelapa sawit serta aktiviti pertanian lain.
 
Perkampungan Felda Perasu di kelilingi oleh gua batu kapur dan bukit bukau yang menjadikan perkampungan ini sangat indah dan mendamaikan. Terdapat juga jeram yang menjadi tapak perkelahan.

Dari Felda Perasu kelihatan jelas puncak Gunung Rabong yang mempunyai ketinggian 1,538 meter. Gunung ini dinamakan Gunung Rabong kerana kelihatan umpama rabong (tudung saji) bila dilihat dari Gua Musang dan kawasan sekitarnya.
 




No comments:

Post a Comment