Pelancongan domestik bermakna rakyat melancong
di dalam negara sendiri, tidak kira berapa jarak destinasi dituju dengan tempat
tinggal dan apa aktiviti yang dilakukan. Berkunjung ke tempat-tempat menarik,
melawat saudara mara dan melakukan pelbagai aktiviti yang menarik di dalam
negara adalah termasuk pelancongan domestik.
Pelancongan domestik telah lama
dikembangkan di negara maju. Kira-kira 70 peratus aktiviti pelancongan di
negara maju melibatkan pelancong domestik. Industri pelancongan di negara maju
berkembang dengan pesat kerana sokongan pelancong domestik.
Sudah ramai rakyat kita mula menjadikan
amalan melawat sesuatu tempat pada musim cuti sekolah dan cuti panjang. Namun
aktivitinya agak terhad dan dalam skop lawatan biasa sahaja. Sebab itu ia tidak
melahirkan satu suasana yang menyeronokkan.
Memajukan industri pelancongan bukan
sekadar bergantung kepada tempat menarik, tetapi juga apa yang boleh
dimanfaatkan daripada sumber sedia ada. Contohnya, keindahan alam semula jadi
dengan flora dan fauna tidak memberi apa-apa keuntungan jika tidak dieksplotasi
melalui aktiviti kembara berjalan kaki (hiking), mendaki, perkhemahan dan
sebagainya.
Program seumpama ini kini giat dilakukan
oleh pihak kerajaan melalui sokongan pihak swasta. Promosi setiap aktiviti
dilakukan dengan lebih sistematik melalui iklan di akhbar, media elektronik, media
sosial, kempen dan sebagainya. Maklumat juga boleh diperoleh melalui agen
pelancongan.
Dengan pembangunan industri pelancongan
tempatan diharapkan juga dapat mengurangkan bilangan rakyat kita daripada
melancong ke luar negara. Rakyat perlu disedarkan dan diyakinkan betapa
perlunya melancong di dalam negara sebelum ke luar negara.
Kenalilah negara sendiri sebelum mengenali
negara lain. Masih banyak rakyat kita tidak mengenali sepenuhnya tempat-tempat
menarik di negara sendiri. Mereka lebih mengenali negara luar kerana sering
berkunjung ke sana. Sikap ini menunjukkan tidak ada semangat patriotik terhadap
negara.
Negara kita tidak kurang hebatnya
berbanding di luar negara. Bahkan dalam banyak segi negara kita lebih
menarik. Beberapa pulau di negara kita diiktiraf sebagai antara
tercantik di dunia. Kemudahan sokongan untuk industri pelancongan di
negara kita juga bertaraf dunia.
Melancong di dalam negara dapat melahirkan
rasa cinta negara dan bangga dengan negara sendiri. Rakyat dapat menikmati
segala kemudahan hasil kemajuan negara. Kita berbangga dapat melihat sendiri
segala kejayaan dicapai negara.
Selain itu, melancong dalam negara dapat
mewujudkan hubungan lebih rapat penduduk dari satu negeri dengan negeri lain.
Integrasi rakyat dapat ditingkatkan dan secara langsung dapat membantu
menghapuskan jurang perasaan curiga dan tidak puas hati di kalangan rakyat dari
tempat berbeza.
No comments:
Post a Comment