Friday 9 August 2024

KAMPUNG LULUT MUKIM KUALA SUNGAI

 
Kampung Lulut terletak dalam mukim Kuala Sungai, daerah Bertam, jajahan Gua Musang, Kelantan. Sebuah kampung terpencil di pinggir Sungai Nenggiri.

Perhubungan utama ke Kampunt Lulut ialah melalui jalan air dari Bertam Baru atau jeti lain yang berada berhampiran. Masa perjalanan menggunakan bot dari jeti di Bertam Baru ke jeti di Kampung Sungai ialah kira-kira 10 hingga 15 minit.

Cara lain untuk ke Kampung Lulut ialah melalui jalan darat belum berturap di sepanjang Ladang Kelapa Sawit Serasa dari Cabang Felda Chiku di Jalan Kuala Krai-Gua Musang. Jarak lebih kurang 25 kilometer, dengan jalan tidak berturap kira-kira 22 kilometer. Masa perjalanan lebih kurang satu jam dan lebih lama jika tidak biasa menggunakan jalan tersebut.

Kampung Lulut dipercayai dibuka sebelum kemerdekaan negara oleh Yasok bin Che Kar bersama-sama sanak saudara yang berasal dari Pasir Mas. Mereka membuka tanah penempatan baharu untuk tempat tinggal dan membuka kebun.

Pada masa dahulu, pengangkutan utama dari Kuala Krai menggunakan bot panjang menyusul Sungai Kelantan sebelum memasuki Sungai Nenggiri dapan melalui beberapa penempatan lain seperti Kampung Bahagia, Kampung Mambung, Kampung Tualang dan Kampung Kemubu. Pengangkutan kereta api juga menjadi pilihan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bot sebelum sampai di Kampung Lulut.

Pada masa darurat, penduduk Kampung Lulut sering menjadi sasaran pengganas komunis sehingga hampir mematahka semangat penduduk untuk terus bertahan. Namun, dengan kecekalan hati, penduduk asal Kampung Lulut terus membangunkan kampung sehingga kekal didiami sehingga kini oleh keturunan peneroka awal.

Di Kampung Lulut terdapat kemudahan sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai dan Klinik Desa Kuala Sungai. Penempatan adalah secara berkelompok di mana kedudukan rumah adalah dekat antara satu sama lain.

Biarpun banyak penduduk yang lebih gemar berurusan di Bertam Lama untuk mendapat keperluan harian dengan menggunakan bot, namun sekarang sudah banyak yang memilik kenderaan seperti kereta untuk terus ke bandar Kuala Krai atau bandar Gua Musang, biarpun terpaksa melalui jalan tidak berturap kawasan ladang kelapa sawit dan kampung.
 
Jeti di Kampung Lulut

Laluan untuk ke jeti

Jeti di Bertam Baru

Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai

No comments:

Post a Comment