Friday 22 November 2019

KEBAIKAN LATIHAN BERKAWAD KAKI

Kawat atau kawad kaki adalah pergerakan yang serentak dan berirama yang biasa dilakukan oleh pasukan beruniform. Untuk membentuk kemahiran pergerakan serentak mengikut tempo yang sama, latihan kawat kaki dilakukan berulang kali.

Biarpun nampak mudah, hakikatnya berkawat memerlukan kemahiran tinggi. Daya tumpuan dan minat yang tinggi diperlukan bagi memastikan pergerakan berkawad dapat dilakukan serentak biarpun melibatkan ramai peserta.

Selain pasukan beruniform yang dipakai sebagai kerjaya, terdapat pelajar sekolah juga memakain pakaian uniform dan terlibat dengan latihan berkawad.  
 
Pada masa kini terdapat tiga kumpulan pasukan uniform di sekolah iaitu yang dinaungi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, badan atau pasukan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan atau NGO.

Falsafah berkawad atau kawat ialah melatih setiap anggota supaya bermegah dengan tatatertib, taat setia dan berkerjasama. Ciri-ciri itu menjadi lambang kemegahan dan keistimewaan pasukan beruniform berbanding jabatan lain.   

Taat setia. Ciri taat setia lahir berdasarkan hakikat bahawa setiap anggota dikehendaki mengikut setiap arahan yang diberi oleh ketua perbarisan. Tiada bantahan atau pengecualian terhadap setiap arahan yang diberikan. Mereka perlu melakukan apa diarahkan dengan bersungguh-sungguh supaya mutu kawat berada di tahap terbaik.

Bermegah dengan tatatertib.  Erti bermegah dengan tatatertib ialah patuh kepada peraturan yang ditetapkan. Pasukan beruniform amat mementingkan soal mematuhi peraturan kerja yang ditetapkan. 

Memakai uniform termasuklah dalam tatatertib. Setiap anggota perlu berpakaian kemas dan mengikuti peraturan pemakaian. Pemakaian menjadi identiti pasukan dan tahap disiplin dapat dilihat cara mana anggota berpakaian. 

Setiap uniform tidak boleh dipakai sesuka hati. Setiap uniform telah ditetapkan seperti bentuk pakaian, ukuran, warna, jenis fabrik, alat tambahan dipakai bersama-sama dan beberapa ciri lain. Semua anggota memakai bentuk uniform yang sama, kecuali perbezaan berkaitan dengan pangkat.

Justeru, beruniform merupakan identiti terpenting pasukan. Kita dapat mengenali pasukan berdasarkan corak atau warna uniform. Di negara kita tidak terdapat pasukan yang sama uniform mereka. 

Kerjasama.  Nilai kerjasama yang dapat dilihat apabila setiap anggota dapat melakukan semua pergerakan bersama-sama. Tidak ada seorang anggotapun dikecualikan melakukan pergerakan kawat yang diarahkan. 

Kejayaan dan kekemasan kumpulan kawat bergantung kepada semua anggota. Jika ada anggota gagal melakukan pergerakan kawat, maka cacatlah keseluruhan kumpulan itu. Sebab itu seluruh anggota perlu menampilkan semangat kerjasama yang tinggi.  

Falsafah kawat ini tentulah tidak setakat ketika berkawat. Perkara yang sama perlu diterjemahkan dalam aktiviti lain, terutama ketika menjalankan tugas masing-masing. 

Sebab itu, kita dapat lihat anggota pasukan beruniform mempamerkan mutu disiplin yang tinggi. Mereka sanggup melakukan tugas-tugas yang mencabar yang dilihat sukar dilakukan oleh orang biasa. 

Berdasarkan itu, berkawat wajar dijadikan sebahagian daripada kaedah untuk mendidik disiplin pelajar. Diperhatikan pelajar yang menyertai pasukan beruniform dan aktif berkawat menampakkan ciri-ciri bermegah dengan tatatertib, cergas, taat setia dan kerjasama yang tinggi.

Kementerian Pelajaran wajar menjadikan pertandingan kawat kaki antara pasukan beruniform di sekolah sebagai antara acara kemuncak tahunan. Ia juga patut dipertandingkan di antara sekolah, daerah dan negeri. 

Pertandingan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan akan meningkatkan semangat anggota untuk menjalani latihan kawat secara bersungguh-sungguh. Mewakili negeri dalam sesuatu pertandingan adalah satu kebanggan kepada setiap pelajar. 

Sebelum terpilih mewakili negeri, pertandingan peringkat sekolah, daerah dan negeri diadakan. Pertandingan ini melibatkan beribu-ribu orang pelajar di setiap negeri. 

No comments:

Post a Comment