Saturday, 19 February 2022

SYARAT BOLEH KERJASAMA DENGAN BUKAN ISLAM

 
Tahaluf siyasi adalah kerjasama dengan bukan Islam. Apa dilakukan mesti memberi manfaat Islam mendapat untung, dihormati, berkuasa, dominan, pandangan didengari dan hebat. Jika sebaliknya, tidak harus tahaluf siyasi, bahkan haram apabila Islam rugi, dihina, dipermainkan dan lemah.

Tahaluf siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram.

Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah. Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi, Dr Mustoffa al-Tohhan, al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid, Dr Solah al-Showi dan Dr Munir Ghahdban.

Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (Surah al-Maidah, ayat 51)

Seterusnya firman Allah bermaksud: "Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka. (Surah al-Maidah, ayat 52)

Dakwa mereka, kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka.

Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya." (Surah Al-Baqarah, ayat 219)

Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai.

Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.

Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah seperti Half al-Fudhul iaitu satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah melibatkan perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW.

Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang bermaksud: "Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan". 

Ia membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

No comments:

Post a Comment