Friday, 20 July 2018

ETAK SEGAR DI PASAR KOTA JEMBAL

Etak atau etok segar sukar ditemui untuk dibeli. Kebanyakan etok dijual yang sudah disalai atau etak sudah diproses siap untuk dimakan. Namun, anda boleh membeli etak segar di Pasar Kota Jembal (berdasarkan pemerhatian beberapa minggu). Etak segar boleh dibuat macam-macam resipi. Etak boleh dimasak atau digoreng sama seperti lala, tijah dan tibing. Antara resipi biasa masak etak ialah tumis kicap, gulai masak lemak dan masak serai.

Etok sejenis hidupan air tawar dari keluarga kerang yang begitu sinonim dengan kehidupan harian masyarakat di Kelantan. Dikenali sebagai corbicula fluminea  dalam bahasa saintifik, dulunya amat mudah didapati di sepanjang sungai di negeri Kelantan. Sebab itu, ia terkenal dan menjadi kegemaran rakyat Kelantan memakannya. 

Jadi, etok menyumbang kepada kegiatan ekonomi penduduk di sekitar tebing sungai. Kerja mencari etak atai 'ngokok etok' popular terutama di kalangan penduduk berhampiran Sungai Kelantan. 

Namun itu semua hanya tinggal sejarah. Kini etak sukar untuk ditemui di dasar sungai di Kelantan disebabkan pencemaran air sungai dan habitat etak yang diganggu oleh proses pembangunan.    

Etok masih mendapat sambutan dari penggemarnya biarpun harganya kini agak mahal disebabkan faktor sukar untuk mendapat sumber bekalan.

Kebiasaannya sumber etok mentah boleh didapati dari timbunan pasir di dasar Sungai Kelantan tetapi kini pengusaha etok sukar mendapat bekalan kerana hidupan air itu semakin pupus di sungai tersebut.

Kini terdengar banyak rintihan di kalangan peniaga etok. Para 'pencari' etok mendakwa etok semakin sukar didapati di sungai Kelantan.

Mereka mendakwa kepupusan etok berlaku berikutan pencemaran air sungai akibat kerja-kerja pembangunan kawasan tanah tinggi di Ulu Kelantan dan pengambilan pasir di sepanjang sungai yang menjadi habitat semula jadi hidupan air itu.

Kebanyakan mereka kini mendapat etok sungai utama di luar Kelantan seperti dari sungai di Perak dan Terengganu bagi menampung permintaan. Sekarang ini ada etok dijual di Kelantan dibawa dari Selatan Thai.