Monday 22 July 2024

BENTUK HUKUMAN QISAS DAN DIAT

 
Dalam Islam, pelaku kesalahan jenayah ditetapkan hukuman di dunia, selain menerima pembalasan di akhirat. Bagi kesalahan membunuh terdapat dua bentuk hukuman boleh ditentukan kaedahnya iaitu qisas dan diat.  
 
Kaedah hukuman qisas ini ialah pesalah akan diperlakukan sama seperti yang dilakukan oleh kepada pihak lain. Contohnya, pesalah membunuh akan memenerima hukuman bunuh juga.
 
Manakala diat juga hukuman untuk kesalahan membunuh, tetapi berlaku dengan tidak sengaja. Dalam keadaan ini, pesalah tidak dijatuhkan hukum bunuh juga, sebaliknya dikehendaki membayar ganti rugi kepada ahli keluarga mangsa dibunuh. Jumlah diat terbahagi dua iaitu ditentukan oleh syarak dan tidak ditetap oleh syarak. Wang atau harta untuk dibayar diat diambil dari harta pelakunya.
 
Perkara berkaitan gisas dan diat berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah  al-Baqarah, ayat 178 bermaksud: "Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya.
 
Dengan kata lain, walaupun qisas melibatkan bunuh dihukum bunuh, waris boleh memilih sama ada memaafkan dan menerima diat. Bahkan, tidak salah jika waris memaafkan sepenuhnya tanpa meminta diat.
 
Di Malaysia, kesalahan jenayah bunuh terletak di bawah undang-undang sivil. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati. 
 
Biarpun hukuman kesalahan membunuh terletak di bawah undang-undang sivil, hakikatnya ia ada sebahagian daripada kanun Islam iaitu qisas yang membenarkan pembunuh dijatuhi hukuman bunuh.

No comments:

Post a Comment