Friday, 20 October 2023

ISU SISWAZAH MENGANGGUR MEMBIMBANGKAN

 
Isu siswazah menganggur tidak pernah surut. Itu belum lagi masuk isu siswazah dibayar gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan yang dimiliki.
 
Fenomena siswazah menganggur menjadi mimpi ngeri kepada siswazah. Hasrat ingin terus mendapat peluang pekerjaan dan memperoleh pendapatan lumayan sekadar menjadi cita-cita. Sebaliknya, hakikat yang terpaksa ditempuh ialah mendapat status penganggur terhormat. 
 
Tentulah masalah pengangguran siswazah sedikit sebanyak mencacatkan pencapaian memberangsangkan institusi pendidikan tinggi (IPT) negara kita. Malaysia berbangga dengan tahap pendidikan tinggi yang semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa. Buktinya, bilangan penuntut asing yang belajar di Malaysia semakin meningkat dari setahun ke setahun. 
 
Kajian mendapati meningkatnya bilangan siswazah menganggur antaranya berpunca pemilihan kursus yang tidak sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan. Selain itu, tahap penguasaan siswazah juga tidak mencapai keperluan dikehendaki bakal majikan.
 
Persoalannya, penempatan pelajar di IPT ditetapkan oleh pentadbiran, dan bukannya pelajar. Biarpun pelajar membuat pilihan, keputusan menawarkan tempat dibuat oleh IPT. 
 
Pihak IPT mendakwa calon sekadar mempunyai kelayakan minimun untuk mengikuti kursus yang dianggap sukar. Sebab itu ramai pelajar gagal menamatkan pengajian, atau sekadar memperoleh kelulusan minimun. Inilah punca mereka sukar mendapat pekerjaa.  
 
Pihak IPT perlu mengadakan syarat kemasukan yang lebih ketat. Tidak guna kita mengeluarkan siswazah yang tidak mencapai piawaian untuk memasuki pasaran pekarjaan.   
 
Ini tidak pula bermakna bilangan kemasukan pelajar ke IPT mesti dikurangkan. Bilangan pelajar ditawarkan tempat di IPT perlu ditingkatkan seperti yang dirancangkan. Tetapi, mereka hendaklah ditawarkan mengikuti kursus yang bersesuaian.   
 
Sebagai contohnya, pelajar memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak semestinya ditawarkan mengikuti pengajian peringkat ijazah. Jika keputusan STPM sekadar sederhana, lebih sesuai mereka ditawarkan mengikuti kursus peringkat peringkat diploma atau sijil. Ini bagi memastikan keupayaan mereka mencapai kelulusan cemerlang di peringkat diploma atau sijil nanti.
 
Biarpun kaedah ini merugikan tempoh pengajian, kerana pelajar memiliki STPM sepatutnya terus mengikuti kursus peringkat ijazah, itu lebih baik daripada mengambil kursus yang tidak mampu diikuti dengan cemerlang, dan kemudian menganggur selepas tamat pengajian.
 
Amat mendukacitakan, majoriti siswazah yang menganggur terdiri bumiputera. Benarkah siswazah bumiputera sukar mendapat pekerjaan kerana diskirminasi kaum oleh syarikat besar yang banyak dikuasai bukan bumiputera?
 
Sebenarnya, siswazah bukan bumiputera juga sukar mendapatkan pekerjaan. Tetapi mereka tidak rela digelar penganggur. Mereka menimba pengalaman bekerja dari peringkat bawah. 
 
Inilah realiti yang perlu dicontohi siswazah bumiputera. Jangan hanya ingin bekerja bergaji tinggi.
 
Dalam banyak situasi, kelulusan bukan menentukan kemampuan bekerja. Kelulusan sekadar dijadikan lambang kecemerlangan akademik dan membentuk keyakinan diri. Kejayaan sebenar ialah kemampuan melaksanakan tanggungjawab pekerjaan.
 
Bagi kerjaya bukan profesional yang tidak melibatkan kawalan badan profesional, majikan lebih menitikberatkan pengalaman. Pekerja baru diambil berdasarkan kepada potensi kemampuan diri. Kelulusan akademik sekadar membuktikan tahap pengajian.  
 
Dalam hal ini, banyak jawatan penting dalam syarikat bersaiz sederhana dipegang oleh pekerja berpengalaman, biarpun tidak mempunyai kelulusan tinggi.
 
Ini bermakna siswazah yang baru tamat pengajian terpaksa bersaing dengan pekerja berpengalaman untuk mengisi jawatan. Dalam persaingan itu, siswazah sering diketepikan.
 
Ramai berpendapat, jika tidak diberi peluang, bilakah siswazah akan memperoleh pengalaman. Sebenarnya, inilah hakikat yang perlu diterima, yakni bekerja dahulu dari peringkat rendah. 
 
Jika siswazah mampu membuktikan kemampuan bekerja, tidak ada sebab mengapa mereka tidak mampu meningkat. Mereka juga boleh memohon kerja di tempat baru, dan ketika itu mereka sudah boleh mengemukakan pengalaman berkerja untuk dinilai oleh bakal majikan baru.

No comments:

Post a Comment