Monday 17 April 2023

CARA HARGAI PENGORBANAN ISTERI

 
Semua harus menerima hakikat, bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki di belakangnya berdiri seorang wanita dan di sebalik kejayaan suami di belakangnya seorang isteri yang sentiasa menyokong kerjaya suami.
 
Justeru para suami perlu sentiasa menghargai pengorbanan dan penat lelah seorang isteri serta tidak mudah bagi isteri untuk berpaling tadah atau bertukar arah jika hati tidak dilukai.
Amat malang jika setelah mendapat kejayaan dalam kerjaya mahupun tempat baik di dalam masyarakat, lalu mereka meninggalkan atau mengabaikan isteri yang sebelum itu setia menyokong kejayaan suami.
 
Ingatlah, syaitan sering mencari jalan bagaimana hendak merosakkan kehidupan suami isteri. Dilakukan pelbagai cara agar suami isteri bercerai atau hidup dalam keadaan tidak bahagia.
 
Antara hasutan dilakukan syaitan agar berlaku perceraian ialah suami berasa diri telah menjadi lebih hebat yang menjadikan dia mendapat perhatian wanita lain. Lalu, dia melupai bahawa kejayaan selama ini hasil sokongan isteri yang setia. Pun begitu, hasil hasutan syaitan, suami lebih terpengaruh untuk menabaikan isteri.
 
Rasulullah pernah mengingatkan tentang kerja syaitan yang diketuai Iblis menghancurkan rumah tangga.
 
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya).
 
Maka datanglah salah satu tenteranya dan melaporkan: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (Hadis riwayat Muslim).
 
Hadis tersebut tidak hanya membicarakan tentang singgahsana iblis, namun dalam ayat terakhir hadis tersebut, ada disebut mengenai “Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.”
 
Sedangkan sebelum itu telah datang kepadanya syaitan yang juga melakukan tugasnya dengan baik, tetapi tidak pula dipuji bahkan dikatakan tidak berbuat apa-apa. Ini bermakna, apabila berlakunya penceraian dalam kalangan pasangan Muslim, itu merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi iblis dan sekutunya.
 
Sesungguhnya Iblis dan syaitan akan berusaha bersungguh-sungguh merosakkan kehidupan anak Adam dengan berbagai helah dan tipu daya.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Surah al-Isra, ayat 53).
 
Kesungguhan syaitan itu juga termasuk memisahkan pasangan suami isteri agar masjid yang dibina runtuh dan ranap bagai ditelan bumi.
 
Pada dasarnya talak adalah perbuatan yang dihalalkan. Akan tetapi, perbuatan ini disukai iblis kerana perceraian memberikan kesan dan peristiwa buruk yang besar bagi kehidupan manusia. Betapa banyak anak yang terbiar, tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya akibat dari perceraian.
 
Tidak kira dengan apa cara sekalipun, iblis tetap mengusahakan dan menyesatkan manusia agar sentiasa bersengketa bagi suami dengan isteri, bergaduh dan tidak sefahaman antara keduanya.
 
Para suami perlu sentiasa berusaha untuk menjaga kerukunan rumah tangga dan salah satu cara ialah menghargai jasa dan pengorbanan isteri.
 
Gambar sekadar hiasan


No comments:

Post a Comment