Friday 2 February 2024

PERKARA 42 BERKAITAN KUASA PENGAMPUNAN

 
Yang di-Pertuan Agong boleh memutuskan apa jua keputusan sama ada untuk memberi pengampunan penuh atau mengurangkan jumlah hukuman dan denda dikenakan ke atas mana-mana individu yang sedang dipenjarakan.
 
Perkara itu diperuntuk di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan iaitu selepas baginda mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan.
 
Kuasa pengampunan ini ada dua, sama ada baginda setuju untuk memberi pengampunan penuh iaitu dari segi sabitan serta hukumannya atau hanya kepada pengampunan dari segi hukuman saja yang boleh dikurangkan.
 
Baginda boleh membuat keputusan berdasarkan budi bicara baginda.
 
Perkara 42(1) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya.
 
Mengurangkan hukuman adalah menyentuh terma lega hukum dalam Perkara 42(1) itu.
 
Dengan kata lain, skop pengampunan dibawah Perkara 42 adalah luas. Ini termasuk kuasa untuk mengurangkan hukuman, menggantung hukuman dan sebagainya sebagaimana ditafsir oleh mahkamah. Jadi skop pengampunan itu luas sebagaimana jika sekiranya dibenarkan untuk mengampunkan kesalahan, maka perkara lebih ringan seperti mengurangkan jumlah hukuman penjara itu juga sebahagian daripada kuasa yang ada pada Agong.
 
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan kuasa pengampunan dan sebagainya.
 
Perkara 42 (1) menyebut Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja atau Yang Dipertua Negeri memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negerinya.
 
Perkara 42 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tertakluk kepada Fasal (10) dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri bagi meremit, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau mahkamah sivil dalam Wilayah Persekutuan dan kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri tempat kesalahan itu dilakukan.
 
Perkara 42 (3) pula menyatakan jika sesuatu kesalahan dilakukan secara keseluruhan atau sebahagian di luar Persekutuan atau di lebih daripada satu negeri, atau dalam keadaan yang boleh menimbulkan keraguan di mana kesalahan itu dilakukan maka ia hendaklah dikira telah dilakukan di negeri tempat kesalahan itu dibicarakan.
 
Sementara itu, Perkara 42 (5) menyatakan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap negeri hendaklah terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Menteri dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri.
 
Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa, melalui surat cara secara bertulis, mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada orang lain dan Raja atau Yang Dipertua Negeri boleh melantik mana-mana orang untuk menjalankan buat sementara fungsi mana-mana anggota yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak dapat menjalankan fungsinya.
 
Menurut Perkara 42 (6), anggota Lembaga Pengampunan yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah bagi tempoh tiga tahun dan layak dilantik semula namun boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatan sebagai anggota Lembaga.
 
Perkara 42 (8) pula menyatakan Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Raja atau Yang Dipertua Negeri dan Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.
 
Berdasarkan Perkara 42 (9), sebelum memberi nasihat mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan pendapat bertulis yang mungkin dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.
 
Menurut Perkara 42 (10), kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman atau meremit, menggantung atau meringankan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah yang ditubuhkan di bawah undang-undang yang mengawal selia hal ehwal agama Islam di Melaka, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak atau Wilayah Persekutuan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri terbabit.
 
Perkara 42 (11) pula menyatakan bagi maksud Perkara itu maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah Persekutuan dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai secara mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan kecuali sebutan mengenai Raja atau Yang Dipertua Negeri hendaklah ditafsirkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai Ketua Menteri hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan.
 
Sebenarnya, kuasa pengampunan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri ialah kuasa yang diwarisi zaman berzaman oleh institusi beraja negara kita.
 
Kuasa pengampunan ini diguna pakai apabila seseorang itu didapati bersalah oleh mahkamah sesebuah negara dan dihukum dengan suatu hukuman.
 
Proses perbicaraan di mahkamah ialah proses untuk menzahirkan tanggungjawab jenayah atas kesalahan yang telah dilakukan bagi meletakkan hukuman ke atasnya atau dia hendaklah dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan jenayah yang dilakukan.
 
Selepas semua proses mahkamah itu berakhir, dan mahkamah mendapati seseorang itu bersalah dan menggalas tanggungjawab jenayah, maka dia hendaklah menjalani hukuman bagi kesalahan yang disabitkan oleh mahkamah.
 
Selepas dipertanggungjawab bagi suatu kesalahan jenayah oleh mahkamah, proses pengampunan boleh mengambil tempat. Boleh dikatakan pengampunan ialah satu proses belas kasihan atau ihsan, dan bukan semata-mata proses keadilan jenayah.
 
Di negara-negara tidak beraja, kuasa pengampunan dilaksanakan oleh presiden. Dalam amalan di Amerika Syarikat sebagai contoh, sebelum persaraan presiden, biasanya berlaku pengampunan kepada mereka yang didapati bersalah dan dikenakan hukuman oleh mahkamah.
 
Bagi negara beraja, pengampunan satu kuasa budi bicara yang lahir daripada institusi beraja dan ia ialah kuasa yang sinonim dengan institusi beraja. Dari perspektif sejarah, ia dirangkum bersama kuasa prerogatif raja yang lain, seperti kuasa untuk membuat pengisytiharan perang dan menentukan hukuman mati.

No comments:

Post a Comment