Thursday, 24 October 2024

KENALI SALAF DAN SUFI

 
Istilah salafiyyah (aliran salafi) bermaksud mengikut apa-apa yang didatangkan oleh Rasulullah SAW serta memahami al-Quran dan al-Sunnah bertepatan dengan yang difahami oleh para sahabat dan tabiin dengan tanpa sebarang takwil. Manakala istilah sufiyyah (aliran sufi) pula merujuk kepada zuhud dan mujahadah diri.
 
Sehubungan dengan itu, daripada pengertian dan maksud kedua-dua istilah tersebut, didapati tidak terdapat sebarang khilaf dan percanggahan di antara sufiyyah dan salafiyyah.
 
Ini kerana salafiyyah merujuk kepada fahaman dan amalan yang sahih, begitu juga sufiyyah yang juga merujuk kepada amalan kerohanian yang sahih berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
 
Apabila ditinjau pada zaman permulaan Islam, didapati ramai para sahabat dan tabiin merupakan golongan Salafi dan Sufi sekali gus, iaitu mereka mengikut sunnah dan pada masa sama mereka mempraktikkan zuhud dalam kehidupan, walaupun istilah Sufi dan Salafi belum pun wujud pada ketika itu.
 
Hujah yang melayakkan tokoh ulama salaf dikenali dengan golongan sufi ialah kerana kezuhudan dan kewarakan mereka yang sememangnya bertepatan dengan apa yang difokuskan oleh golongan sufi. 
 
Namun, apabila seseorang itu tidak memahami dengan jelas berdasarkan ilmu yang mantap terhadap kedua-dua aliran ini berdasarkan sumber yang sahih, maka timbullah percanggahan dan perselisihan yang tidak sepatutnya berlaku.
 
Apatah lagi apabila terdapat golongan yang syirik kepada Allah SWT, lalu mendakwa mereka membawa ajaran tasawuf menyebabkan kejernihan tasawuf dicemari.
 
Apa yang lebih malang berlaku apabila pihak yang melihat unsur syirik berlaku pada ajaran sesat yang mendakwa sebagai tasawuf itu terus menyalahkan tasawuf secara keseluruhannya. Sedangkan pihak itu sendiri tidak tahu dan tidak pernah terlibat dalam aktiviti ajaran tasawuf yang sebenar berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.
 
Begitu juga berlaku pada aliran salafi. Apabila wujudnya golongan kurang berilmu yang mendakwa bahawa mereka pendokong ajaran salafi sedangkan mereka ini tidak mendalami ajaran Islam serta tidak mempunyai asas yang kukuh dalam pembelajaran agama.
 
Lalu mereka bersikap kasar, fanatik, asyik membidaahkan amalan yang dilakukan dalam masyarakat tanpa mengetahui unsur khilaf yang berlaku dan tidak menggambarkan langsung pendokong ajaran Islam yang suci murni. Lalu ada golongan yang kurang faham telah menolak aliran salafi secara keseluruhannya tanpa membezakan di antara ajaran salafi yang benar dan yang palsu.
 
Percanggahan yang berlaku dapat diatasi sekiranya kedua-dua belah pihak berlapang dada dan menjadikan matlamat mencari keredaan Allah SWT sebagai agenda yang utama untuk mencari penyelesaian. Akan tetapi sekiranya nafsu menjadi landasan, maka akan berterusanlah perpecahan berlaku dalam kalangan masyarakat Islam.

No comments:

Post a Comment