Tuesday, 5 November 2024

JAGA BATASAN HUBUNGAN SESAMA JANTINA

 
Perasaan homoseksual ataupun kecenderungan nafsu kepada sesama jantina ini. Ia adalah termasuk daripada nafsu-nafsu yang pelbagai manusia ada di dalam dirinya yang mudah didorong oleh syaitan untuk melakukannya.
 
Nafsu adalah keinginan yang kuat untuk melakukan sesuatu termasuklah perkara pelik dan luar tabie manusia.
 
Kalau hendak ambil kira layanan nafsu ini sebenarnya memang tidak akan habis. Dan apa pun jenis nafsu yang ada, perlu melawannya dengan mujahadah. Mujahadah ialah usaha bersungguh-sungguh memerangi hawa nafsu, sifat keji dan keinginan melampau yang bertujuan menyucikan jiwa untuk mendapatkan keredaan Allah SWT
 
Tidak dinafikan nafsu kecenderungan kepada sesama jantina ini memang ada disebutkan dalam hadis Nabi SAW sebagai perbuatan amat ditakuti menimpa umat baginda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan yang paling kutakuti akan menimpa umatku adalah perbuatan yang dilakukan oleh kaum Luth." [Hadis riwayat Ibnu Majah)
 
Nafsu kecenderungan sesama jenis ini akan merosakkan norma-norma masyarakat dan akan mengkucar-kacirkan sistem kekeluargaan dan seterusnya meruntuhkan sistem kenegaraan itu sendiri.
 
Jadi disebabkan inilah kita disuruh membendung perasaan tersebut yang mana ia sebenarnya bukanlah satu perkara yang kita tidak boleh bendung. Bahkan ia adalah sama seperti nafsu-nafsu lain juga, boleh dibendung jika benar-benar berusaha melakukannya.
 
Sesiapa yang berdepan dengan ujian nafsu buruk, dan kemudian berusaha untuk tidak terpengaruh melakukan perkara buruk itu, maka dia telah beroleh pahala dan meningkat keimanannya.
 
Sesungguhnya, bahawa sesiapa yang berjaya menolak bisikan nafsu jahat, dia akan beroleh ganjaran baik di sisi Allah SWT.
 
Antara langkah yang diberi oleh Nabi SAW dalam mengelakkan nafsu sesama jantina ialah membataskan melihat aurat biarpun sesama jantina.
 
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain dan janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain. Dan janganlah seorang lelaki satu selimut yang sama dengan lelaki lain dan juga janganlah seorang wanita satu selimut yang sama dengan wanita lain." (Hadis riwayat Muslim).
 
Pengajaran daripada hadis ini ialah perkara yang penting sekali adalah kita kena menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh merangsang nafsu tersebut. Jauhkan diri dari lelaki yang ada rasa kecenderungan nafsu padanya.
 
Individu yang ada nafsu syahwat perlu menyalurkan secara yang halal. Jika belum berkahwin, carilah pasangan yang boleh memenuhi keperluan tabie tersebut. Dengan itu tuntutan nafsu dapat salurkan dengan cara yang baik dan diterima sebagai sebahagian ibadat.
 
Di samping itu lakukan langkah-langkah pencegahan dengan menjaga pandangan dan pergaulan sesama jantina.
 

No comments:

Post a Comment