Dalam sejarah kepahlawanan tentera Islam
pada zaman permulaan dulu, tersenarai satu nama cukup gah dan dikenang jasa dan
keberanian iaitu Khaulah binti Al-Azwar.
Khaulah telah dibesarkan dalam sebuah rumah
keberanian, kemuliaan serta kewibawaan, mempunyai susuk tubuh tinggi lampai dan
tegap.
Ayahnya al-Azwar terbunuh ketika mempertahankan Rasulullah SAW dalam satu peperangan. Khaulah menyertai Perang Ajnadin pimpinan Khalid Al-Walid sebagai perawat tentera yang cedera dan memberi semangat serta bantuan bahagian belakang.
Khalid mengkagumi sikap pejuang itu. Maka dia bertanya kepada pejuang-pejuang
yang berada di sisinya. ''Siapakah si penunggang kuda itu? Demi Allah dia
adalah seorang penunggang kuda yang amat berani.''
Beliau terus memerhatikan cara serangannya ke atas tentera Rom, laksana api
yang marak, lalu memecah-belahkan pasukan musuh dan memusnahkan penyusunan
ketumbukan mereka.
Sejurus kemudian dia hilang di
tengah-tengah kumpulan pejuang Islam lain dan terus bertempur bermati-matian,
kemudian kelihatan kembali semula sedang lembing yang dipegangnya bertitisan
darah. Entah berapa banyak orang yang sudah menjadi mangsanya. Dia kemudian
terus menggempur askar-askar musuh tanpa perasaan takut atau gentar sedikitpun.
Sebenarnya kelakuan pejuang ini telah menarik perhatian kaum muslimin hingga
menaikkan semangat serta meneguhkan lagi tekad mereka. Lalu berkata seorang pemuda bernama Rafik bin Umairah: "Pejuang berkuda itu adalah Khalid al-Walid, panglima kita.''
Akan tetapi sangkaan Rafik tidak tepat apabila Khalid muncul secara tiba-tiba.
Lalu Rafik bertanya pada Khalid: ''Siapakah penunggang kuda yang bertarung di
hadapanmu tadi, aku sangkakan kaulah penunggang kuda itu.''
Berkata Khalid, ''Demi Allah aku pun dari tadi telah memerhatikan pejuang itu, aku sendiri tidak mengenalinya. Aku kagum dengan keberanian dan ketangkasannya.''
Khalid berkata lagi: ''Wahai kaum muslimin! Satukan semua tentera dan bantulah si pejuang yang mempertahankan agama Allah itu!''
Maka bertempurlah tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid bersama pejuang berkuda itu, maka semakin bertambahlah semangatnya laksana api yang menjulang. Akhirnya tentera Islam mengecapi kemenangan yang gilang-gemilang.
Apabila pejuang berkuda itu kembali ke garisan tentera muslimin, kelihatan keseluruhan tubuhnya bermandikan darah.
''Siapakah kau sebenarnya? Bukalah kain penutup mukamu!''
Malangnya pejuang itu masih membisu lalu menepuk-nepuk kuda dan terus meninggalkan Khalid al-Walid bersama tentera muslimin.
Apabila pejuang itu melihat Khalid al-Walid begitu serius, maka dia pun menjawab dan kedengaran suara seorang wanita. Katanya: ''Aku tidak akan memalingkan mukaku daripadamu, melainkan kerana terasa malu''.
Khalid al-Walid kagum dengan penjelasan daripada suara yang lembut itu dan terus bertanya: ''Siapakah kamu dan dari mana kamu datang?''
Suara itu menjawab, ''Aku Khaulah binti al-Azwar. Ketika aku sedang bersama-sama wanita lain, tiba-tiba datang satu berita memberitahuku, bahawa saudaraku Dhirar bin al-Azwar telah ditawan.
“Maka aku tidak dapat menahan kesabaranku, lalu aku terus menunggang kuda ke sini. Sesungguhnya aku terpaksa melakukan apa yang telah aku lakukan ini.''
Maka Khalid berkata kepada Khaulah lagi: ''Kita akan menggempur musuh sekali lagi selepas ini dan aku berdoa kepada Allah agar kita dapat menemui saudaramu, supaya kau dapat membebaskannya nanti.''
Peperangan itu dimenangi tentera Islam dan Dhirar berjaya dibebaskan bersama-sama tentera Islam yang lain.
Penyertaan Khaulah dalam peperangan tidak berakhir di situ sahaja. Beliau telah menyertai beberapa peperangan selepas itu termasuklah peperangan yang berlaku di Syam.
Khaulah telah meninggalkan namanya harum mewangi, yang bau-bauannya terus menerus dicium orang di sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment