Sunday, 22 August 2021

KISAH AL-QAMAH TIDAK HORMATI IBU

Kisah Alqamah tidak dapat mengucap ketika hampir mati disebabkan sikap durhaka kepada ibu sering dijadikan kisah tauladan berkaitan dosa tidak menghormati ibu.

Kisah ini amat menarik kerana Alqamah seorang ahli ibadat yang sangat banyak beribadat pada zaman Rasulullah SAW. 

Beliau mempunyai seorang ibu. Dia amat taat kepada ibunya dan menjalankan tanggungjawab sebagai anak sebaiknya.

Namun, selepas berkahwin, beliau dilihat sangat memberikan perhatian pada isteri sahaja sehingga mengabaikan ibunya.

Sikap Alqamah ini membuatkan ibunya berasa kecewa dan terasa hati. Ibunya tidak dapat memaafkan sikap Alqamah. Apabila Alqamah menghadapi saat-saat kematian, beliau tidak dapat melafazkan syahadah. Saat kematiannya sangat sukar sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai.

Lalu Rasulullah SAW datang, baginda terus bertanya adakah lelaki ini masih mempunyai ibu?

Sahabat menjawab masih ada. Rasulullah SAW mengarahkan supaya ibunya dipanggil dan memohon ibunya agar memaafkan segala kesalahan Alqamah.

Ibunya tidak mahu lantaran perasaan kecewa dan sakit hati yang masih terasa di hati akibat sikap derhaka Alqamah.

Akhirnya Rasulullah SAW mengarahkan sahabat lain mengumpulkan kayu api untuk membakar Alqamah agar dia cepat mati. Mendengar keputusan Rasulullah SAW, ibunya berubah fikiran.

Ibu mana yang sanggup melihat anak kandungnya diperlakukan sedemikian. Lantas, ibunya bersetuju untuk memaafkan segala kesalahan Alqamah.

Selepas sahaja si ibu memaafkan, Alqamah dapat melafazkan kalimah syahadah dan terus meninggal dunia.

Kisah ini sering dijadikan bahan oleh penulis, penceramah, guru dan seumpamanya sebagai contoh kesan anak yang tidak mentaati ibu.

Persoalan, adakah cerita itu benar-benar terjadi?

Hadis ini lemah kerana adanya perawi yang bernama Faidh bin Abdur-Rahman. Siapakah Faidh bin Abdur Rahman? Namanya Faid bin Abdur Rahman Abu Warqa Al-Kufi Al-Atthar.

Rata-rata ulama hadis yang mahir dalam bidang Jarh wa Ta’dil (ilmu penilaian terhadap perawi), menilai Faid bin Abdul Rahman sebagai daif.  

Apatah lagi, kisah ini diriwayatkan oleh Faid bin Abdul Rahman daripada Ibn Abi Aufa. Dan ulama hadis lebih mencurigai hadis-hadis Faid yang diriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa.

Berikut ialah beberapa kritikan ulama hadis terhadapnya:

- Menurut Ibn al-Jauzi, kisah ini dihukumkan sebagai palsu dan tersenarai tentang kepalsuannya di dalam bukunya al-Maudhua't.  

- Manakala Abdullah bin Ahmad (anak kepada Imam Ahmad) di dalam “Al-Musnad” (4/382): "Di dalam kitab ayahku, telah menceritakan kepada kami Faidh bin Abdur Rahman, dia berkata; Aku telah mendengar Abdullah bin Abi Aufa berkata: 

"Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah: Ya Rasul Allah, sesungguhnya di sisi kamu seorang pemuda yang didatangi sakaratulmaut, dikatakan kepadanya; katakanlah Lailahaillallah, Dan dia tidak mampu mengatakannya. 

"Maka dia berkata; Bukankah dia (pemuda) ini selalu mengatakannya dalam hidupnya?. ” Dia berkata: Bahkan. Katanya; Maka, apa yang menghalanginya ketika dia hampir kepada kematiannya? ” (Maka diceritakan hadis ini dengan panjangnya (cerita Alqamah). 

"Dan ayahku tidak menceritakan dua hadis ini, dan dia membuang hadis ini dari kitabnya, kerana dia tidak bersetuju dengan hadis Faid bin Abdurrahman, atau menurutnya hadis ini tertolak."

- Ibnu Hammad dari Abbas dari Yahya, katanya, Faid bukan tsiqah. Dalam katanya lain; Daif.

- Abdullah bin Ahmad daripadanya ayahnya (Imam Ahmad); Faid ini hadisnya tertolak.

- Berkata Bukhari, Faid bin Abdur Rahman Kufi Abu Warqa’ Munkarul Hadis (Diingkari hadisnya)

- Ibnu Qayyim, hadis ini tidak benar dari Nabi.

- Berkata Abu Hatim: Dia berdusta.

- Al-'Uqaili juga menyenaraikan kisah ini dalam kitabnya Dhu'afa al-kabir, sebagai suatu cerita dusta.

- Al-Haithami. Hadis ini mengenai cerita ini diriwayatkan oleh Tabrani dan Ahmad secara ringkas sekali tetapi dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Faid Abu Warqa dan dia adalah seorang yang matruk (yang ditinggalkan/tidak diterima hadisnya)

- Al-Baihaqi. Cerita ini adalah sangat lemah (dhaif jiddan) dalam kitabnya Syua'b al-Imam, al-Munziri dalam targhib wa tarhib.

- Ibn 'Arraq juga mengatakan ceritanya tidak sahih (Tanzih al-Syariah)

- al-Albani: hadis ini dan keseluruhannya adalah maudu (palsu) seperti yang dinyatakan dalam kitabnya Silsilah Ahadith al-Dhaifah

- Kata Abu Hatim, “Hadis-hadis Faid daripada Ibn Abi Aufa adalah batil, hampir-hampir tidak ada asal baginya”. Katanya lagi, “Kalau seseorang bersumpah bahawa seluruh hadis Faid adalah bohong, maka dia tidak dianggap melanggar sumpah”.

- Al-Hakim pula mengatakan, “Faid meriwayatkan daripada Ibn Abi Aufa hadis-hadis palsu”.

- Al-Syaukani dalam Al-Fawaid al-Majmuah. Kata beliau, “Dalam sanadnya terdapat perawi yang berstatus matruk dan pembohong”.

Berdasarkan kepada pendapat ulama, wajar kita tidak lagi menceritakan Alqamah sebagai satu pengajaran kepada sikap tidak menghormati ibu bapa. 

No comments:

Post a Comment