Tebu mudah ditanam menggunakan keratan batang yang terdapat mata tunas pada bahagian bukunya. Biasanya batang bahagian atas digunakan untuk anak benih kerana ia biasanya tidak digunakan untuk dimakan.
Kalau hendak tanam sekadar dua tiga pokok, boleh sahaja terus ditanam di tempat kekal. Tidak sukar untuk menyiram sehingga mata tunas tumbuh membesar.
Kalau hendak tanam banyak, elok disemai dahulu di tempat semaian. Mata tunas perlu menghala ke arah atas dan semaian tersebut mestilah mempunyai naungan. Keratan disemai selama 10 – 14 hari atau sehingga mata tunas tumbuh setinggi 0.25 – 0.35 m sebelum ditanam ke ladang.
Pada usia tiga hingga empat bulan, apabila daunnya terbuka sendiri, petani perlu cabut daun untuk elakkan serangan ulat. Serangan ulat pengorek batang boleh mengakibatkan pertumbuhan tebu terbantut, sekali gus menurunkan kualitinya.
Tebu tumbuh subur di semua jenis tanah yang bersaliran baik kecuali sangat berpasir dan bercerun atau berbukit.
Untuk tanaman ladang, biasanya jenis tebu yang menjadi pilihan petani ialah tebu kuning jenis telur.
Tebu telur memiliki kelebihan tersendiri berbanding tebu lain sehingga ia mendapat permintaan tinggi. Tekstur kulit dan isinya lebih rapuh dan lembut. Selain itu, aroma air tebu ini lebih wangi serta warnanya lebih terang.
Selepas sembilan bulan ke atas ditanam, tebu yang sudah mencapai ketinggian 2.1 meter ke atas boleh dituai. Uniknya, tebu ini keluar bersama 'anaknya,' yang boleh dituai dalam tempoh tiga bulan selepas 'ibunya' dituai.
No comments:
Post a Comment