Saturday, 7 March 2020

KELUARGA ISLAM DIHORMATI DI BRITAIN


Satu kajian di Britain mendakwa kadar kelahiran bayi luar nikah di negara berkenaan meningkat setiap tahun akibat masalah keruntuhan moral semakin meruncing tanpa dapat dibendung.

Dalam banyak keadaan, amalan bersekedudukan tanpa nikah dilihat satu perkara biasa dan tidak mendatangkan sebarang aib kepada pelaku dan ahli keluarga. Malah terdapat pemimpin negara yang mengamalkan amalan itu. Pasangan berkenaan mendapat perghormatan seperti pasangan telah berkahwin.  

Britain menjadi negara keempat memiliki kadar kelahiran bayi luar nikah tertinggi di Eropah selepas Sweden, Denmark dan Perancis.  

Kota London, bagaimanapun, mencatat bilangan kelahiran luar nikah yang kecil iaitu satu pertiga berikutan kehadiran banyak masyarakat Islam yang lebih berpegang kepada nilai murni agama yang mengharamkan amalan pasangan tinggal bersama tanpa ikatan rasmi.

Jumlah umat Islam di United Kingdom (UK) sudah mencapai 3 juta seperti dilaporkan International Business Times bertarikh 2 Januari 2016. Menurut akhbar harian The Telegraph, separuh daripada mereka dilahirkan di luar negara dan dengan kadar kelahiran yang tinggi Muslim akan menjadi majoriti pada 10 tahun akan datang seperti laporan pejabat statistik kebangsaan.

Laporan itu secara langsung satu pengiktirafan terhadap cara hidup penganut agama Islam yang masih berpegang kepada tuntutan syariat. Dalam soal ini, keluarga Islam lebih dihormati yang menjadi contoh sistem keluarga yang utuh melalui ikatan perkahwinan yang sah.

Sistem kekeluargaan diamalkan penganut Islam menjadi model di kalangan penduduk yang masih ingin mempertahankan cara hidup bermoral. Mereka merasakan lebih aman berjiran dengan keluarga Islam yang boleh dijadikan contoh.

Di Barat sekarang ini mengalami masalah keruntuhan moral yang semakin serius akibat cara hidup bebas lelaki perempuan. Melakukan hubungan seks luar nikah tidak lagi dianggap memalukan dan tidak juga menjadi kesalahan jika dilakukan secara rela kedua-dua belah pihak.

Ia berlainan dengan remaja Islam yang lebih mementingkan cara hidup bermoral biarpun dipandang kolot oleh sesetengah pihak. Remaja perempuan Islam juga menggayakan pakaian menutup aurat yang mengelak menjadi mangsa jenayah seks.

Remaja Islam juga tidak mengunjungi pusat hiburan yang bergaul bebas lelaki dan perempuan. Ini secara langsung mengelak terjebak dengan pengaruh arak, dadah dan seks bebas yang banyak terdapat di pusat hiburan. 

Jika tidak kerana wujud sentimen fobia terhadap Islam dalam hati sesetengah masyarakat di Barat, sudah pasti umat Islam akan disanjung dan lebih mudah ajaran Islam mendapat sambutan. Keadaan ini cuba diperbaiki dan bukti positif ialah semakin banyak penduduk di Eropah memeluk Islam.  

Menurut laporan itu lagi, hampir separuh institusi keluarga membabitkan pasangan lelaki dan wanita yang tidak berkahwin dan sehingga satu pertiga daripadanya adalah ibu atau bapa tunggal. 

Banyak pasangan di Barat mengikat tali perkahwinan hanya setelah mempunyai cahaya mata. Itupun tidak pasti anak dari zuriat lelaki mana memandangkan amalan seks bebas yang dilakukan.

Masyarakat di Barat tidak mementingkan nasab keturunan. Apa yang penting ialah apa yang dicatatkan dalam pengenalan diri mengikut peruntukan undang-undang. 

No comments:

Post a Comment