Thursday 22 August 2024

KAMPUNG PASIR TUMBOH, DAERAH BERTAM

 
Di Kelantan, nama Pasir Tumboh memang terkenal sebagai bandar satelit Islam yang terletak dalam daerah Limbat, Kota Bharu. Bandar yang pesat membangun itu terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu. Di Pasir Tumboh ada pondok pengajian Islam yang terkenal iaitu Pondok Pasir Tumboh. Di situ juga ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh.
 
Namun, tidak banyak orang mengetahui tentang kewujudan Kampung Pasir Tumboh, daerah Bertam, dalam jajahan Gua Musang. Kampung di pedalaman berhampiran Sungai Nenggiri ini. Kampung tradisional yang mula diteroka sebelum merdeka itu kini didiami kira-kira 2000 orang penduduk.

Kampung Pasir Tumboh terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Gua Musang. Jarak dari Kota Bharu pula antara 170 kilometer sehingga 190 kilometer mengikut laluan yang dilalui. Kampung terdekat ialah Kampung Bertam Lama dan Kampung Jerek.

Kampung Pasir Tumboh dihubungi dengan jalan kampung bertar satu laluan sejauh kira-kira tiga kilometer dari jalan utama Kampung Jerek.

Di kampung Pasir Tumboh terdapat sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Tumboh. Pelajar akan menyambung pelajaran menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara di Kampung Jerek.

Ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014, Kampung Pasir Tumboh antara kawasan yang teruk dilanda banjir. Ini kerana kedudukan kampung tersebut yang tidak jauh dari Sungai Nenggiri. Kesan limpahan air yang menenggelamkan dan memusnahkan puluhan buah rumah penduduk.
 
Pelbagai bantuan disalurkan pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu membina dan membaik pulih rumah-rumah yang rosak.




No comments:

Post a Comment