Friday 5 July 2024

HUKUM BINAAN DI ATAS KUBUR

 
Kubur adalah rumah terakhir di dunia ini. Siapapun kita di dunia ini, kubur adalah sama. Jasad disemadikan di dalam tanah, dan kemudian mereput hancur. Tiada lagi kemegahan diri yang dikejar selama hidup di dunia. Di dalam kubur, kita tidak dapat menentukan secara fizikal terhadap kubur sendiri. Pihak yang akan menguruskan kubur kita adalah ahli keluarga dan individu lain yang berkaitan dengannya.
 
Ada ahli keluarga yang ingin membina bangunan atau binaan yang besar dan cantik sebagai tanda kasih sayang kepada si mati. Di atas kubur itu dihiasi dengan sesuatu yang cantik dan menarik mata memandang.
 
Di dalam Islam ada peraturan atau kaedah pengurusan kubur, terutama binaan di atas kubur. Islam agama lengkap yang menjelaskan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan penganutnya.
 
Di sini diperjelaskan tentang binaan di atas kubur seperti keterangan di dalam kitab Fiqh al-Manhaji (1/617-618):
 
Makruh membina kubur sama ada di sebelah dalam atau di luarnya dengan bahan yang menyerap bahang panas seperti simen, batu kapur dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Jabir RA, katanya yang bermaksud: “Rasulullah SAW melarang pembinaan kubur dengan batu kapur.” (Riwayat Muslim (970)
 
Walau bagaimanapun pembinaan kubur dengan batu marmar dan seumpamanya adalah haram. Ini kerana perbuatan tersebut sangat bertentangan dengan larangan Rasulullah SAW di samping terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah oleh syarak serta unsur-unsur kemegahan dan kebanggaan yang dicela oleh agama.
 
Makruh tahrim meninggikan kubur dan membuat binaan di atasnya sebagaimana yang dibuat oleh kebanyakan orang hari ini. Menurut sunnah bahawa kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah.
 
Hal ini berdasarkan hadis daripada Ali bin Abu Talib, katanya, Abu al-Hayyaj al-Asadiy berkata yang bermaksud: “Aku menyampaikan pesanan Rasulullah SAW kepadaku bahawa jangan ditinggalkan patung-patung kecuali setelah engkau hancurkannya, begitu juga dengan kubur yang binaannya tinggi kecuali setelah engkau ratakannya.” (Riwayat Muslim (969)
 
Larangan makruh ini dikuatkan dengan realiti bahawa kematian itu adalah pemutus bagi kemewahan dan kecantikan yang dibanggakan sewaktu hidup, sehingga jadilah kubur itu ingatan kepada kematian bukan kemewahan.
 
Apatah lagi tidak boleh menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan binaan di atas kubur. Firman Allah SWT bermaksud: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur.
(Surah al-Takathur, ayat 1-2)
 
Syeikh Ali al-Sobuni dalam Sofwah al-Tafasir menyebut tafsir: “Maksudnya mereka itu yakni manusia terlalu sibuk dan berbangga dengan harta benda, anak-anak, dan para pengkut sehingga melupakan untu berbuat taat kepada Allah da meninggalkan persiapan akhirat…sehinggalah kematian tiba kepada mereka. Lalu mereka dikebumikan di dalam kubur-kubur.”
 
Catatan tambahan:
 
Syaikh Musthofa Al Bugho mengatakan, “Boleh kubur dinaikkan sedikit satu jengkal supaya membedakan dengan tanah, sehingga lebih dihormati dan mudah diziarahi.” (At Tadzhib, hal. 95). Hal ini juga dikatakan oleh penulis Kifayatul Akhyar, hal. 214.

Imam Nawawi berkata, “Yang sesuai ajaran Rasul, kubur itu tidak ditinggikan dari atas tanah, yang dibolehkan hanyalah meninggikan satu jengkal dan hampir dilihat rata dengan tanah. Inilah pendapat dalam mazbab Syafie dan yang sealiran dengannya.” (Syarah Sahih Muslim, 7: 35).

Imam Nawawi juga ada mengatakan, “Terlarang memberikan semen pada kubur, dilarang mendirikan bangunan di atasnya dan haram duduk di atas kubur. Inilah pendapat ulama Syafie dan majoriti ulama.” (Syarah Sahih Muslim, 7: 37).

No comments:

Post a Comment