Tuesday 28 January 2020

CIRI PISANG KEBATU SEDAP MAKAN REBUS

Pisang kebatu antara jenis pisang paling popular atau banyak ditanam di negara kita di kebun atau tepi rumah. 

Namun pisang kebatu tidak ditanam secara besar-besaran atau ladang. Jenis pisang berangan yang banyak ditanam secara ladang.

Pisang kebatu juga dikenali pisang abu. Pisang kebatu mempunyai kulit tebal yang kelihatannya bersegi empat yang ketara. 

Pokok pisang kebatu mempunyai ketinggian yang lebih berbanding dengan pokok pisang lain. Batang pokok pisangnya juga lebih besar dari pokok pisang lain. 

Pada masa dahulu di mana tali pengikat barangan banyak diperbuat dari batang pisang, batang pisang kebatu menjadi pilihan utama untuk dibuat tali.

Buah pisang kebatu belum matang biasanya digunakan untuk membuat kerepek. Kalau yang sudah matang boleh dibuat macam-macam untuk dimakan.

Pisang kebatu sesuai dimakan mentah atau segar.Rasanya sedikit manis dan lemak dengan teksturnya yang gebu. Lebih sedap lagi jika ia direbus.

Pisang kebatu juga sesuai digoreng bertepung. Kebanyakan pisang goreng adalah menggunakan pisang kebatu. 

Selain itu, pisang kebatu banyak digunakan sebagai bahan untuk membuat pengat pisang. Bagi yang suka hidangan manis, pisang kebatu digunakan untuk menu sira.

No comments:

Post a Comment