Sunday 8 August 2021

KONSEP PLURALISME AGAMA ROSAKKAN AKIDAH

Seorang muslim wajib beriktikad bahawa hanya Islam yang diterima di sisi Allah. Islam itu agama Nabi Muhammad SAW dan seluruh para nabi sebelum baginda. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai agamanya, maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan mereka yang rugi”. (Surah Ali-‘Imran, ayat 85).

Konsep hanya mengesakan Allah adalah pegangan setiap penganut Islam. Pun begitu, fahaman pluralisme agama cuba menggugat pegangan umat Islam.

Antara fahaman pluralisme agama ialah tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain.  

Islam menghargai toleransi agama lain tetapi tidak menganggap semua agama adalah sama.

Dengan erti kata lain Islam tidak menganggap bahawa Tuhan yang disembah oleh orang Islam adalah Tuhan yang disembah oleh agama lain. 

Penyelesaian Islam terhadap pluralisme agama adalah dengan mengakui perbezaan dan identiti agama masing-masing. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Kafirun, ayat 6 yang bermaksud: “Untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku.”

Memandangkan pluralisme agama mendakwa semua agama adalah bersifat relatif, maka tidak ada satu agama pun yang berhak mendakwa agamanya adalah benar dan mutlak. 

Mereka menganggap semua agama mempunyai tujuan yang satu iaitu membawa manusia kepada keselamatan di akhirat.

Ia amat bercanggah dengan apa yang disebut al-Quran  bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Allah SWT.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya berserah diri segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah mereka dikembalikan” (Surah Ali-Imran, ayat 83).

Usaha perlu dibuat untuk memperbetulkan semula kefahaman seluruh umat Islam kerana masalah yang berbangkit bukan sahaja menyentuh masyarakat di negara ini tetapi sudah bersifat global.

Gambar pokok keladi hiasan tiada kaitan dengan rencana ini. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment