Thursday 18 January 2024

TUNJUK SEMANGAT PATRIOTIK MELANCONG DALAM NEGARA

 
Pelancongan domestik bermakna rakyat melancong di dalam negara sendiri, tidak kira berapa jarak destinasi dituju dengan tempat tinggal dan apa aktiviti yang dilakukan. Berkunjung ke tempat-tempat menarik, melawat saudara mara dan melakukan pelbagai aktiviti yang menarik di dalam negara adalah termasuk pelancongan domestik.

Pelancongan domestik telah lama dikembangkan di negara maju. Kira-kira 70 peratus aktiviti pelancongan di negara maju melibatkan pelancong domestik. Industri pelancongan di negara maju berkembang dengan pesat kerana sokongan pelancong domestik.

Sudah ramai rakyat kita mula menjadikan amalan melawat sesuatu tempat pada musim cuti sekolah dan cuti panjang. Namun aktivitinya agak terhad dan dalam skop lawatan biasa sahaja. Sebab itu ia tidak melahirkan satu suasana yang menyeronokkan.

Memajukan industri pelancongan bukan sekadar bergantung kepada tempat menarik, tetapi juga apa yang boleh dimanfaatkan daripada sumber sedia ada. Contohnya, keindahan alam semula jadi dengan flora dan fauna tidak memberi apa-apa keuntungan jika tidak dieksplotasi melalui aktiviti kembara berjalan kaki (hiking), mendaki, perkhemahan dan sebagainya.

Program seumpama ini kini giat dilakukan oleh pihak kerajaan melalui sokongan pihak swasta. Promosi setiap aktiviti dilakukan dengan lebih sistematik melalui iklan di akhbar, media elektronik, media sosial, kempen dan sebagainya. Maklumat juga boleh diperoleh melalui agen pelancongan.

Dengan pembangunan industri pelancongan tempatan diharapkan juga dapat mengurangkan bilangan rakyat kita daripada melancong ke luar negara. Rakyat perlu disedarkan dan diyakinkan betapa perlunya melancong di dalam negara sebelum ke luar negara. 

Kenalilah negara sendiri sebelum mengenali negara lain. Masih banyak rakyat kita tidak mengenali sepenuhnya tempat-tempat menarik di negara sendiri. Mereka lebih mengenali negara luar kerana sering berkunjung ke sana. Sikap ini menunjukkan tidak ada semangat patriotik terhadap negara. 

Negara kita tidak kurang hebatnya berbanding di luar negara. Bahkan dalam banyak segi negara kita lebih menarik. Beberapa pulau di negara kita diiktiraf sebagai antara tercantik di dunia. Kemudahan sokongan untuk industri pelancongan di negara kita juga bertaraf dunia. 

Melancong di dalam negara dapat melahirkan rasa cinta negara dan bangga dengan negara sendiri. Rakyat dapat menikmati segala kemudahan hasil kemajuan negara. Kita berbangga dapat melihat sendiri segala kejayaan dicapai negara.  

Selain itu, melancong dalam negara dapat mewujudkan hubungan lebih rapat penduduk dari satu negeri dengan negeri lain. Integrasi rakyat dapat ditingkatkan dan secara langsung dapat membantu menghapuskan jurang perasaan curiga dan tidak puas hati di kalangan rakyat dari tempat berbeza.



No comments:

Post a Comment