Semua harus menerima hakikat, bahawa di sebalik
kejayaan seorang lelaki di belakangnya berdiri seorang wanita dan di sebalik
kejayaan suami di belakangnya seorang isteri yang sentiasa menyokong kerjaya
suami.
Justeru para suami perlu sentiasa
menghargai pengorbanan dan penat lelah seorang isteri serta tidak mudah bagi isteri
untuk berpaling tadah atau bertukar arah jika hati tidak dilukai.
Amat malang jika setelah mendapat kejayaan
dalam kerjaya mahupun tempat baik di dalam masyarakat, lalu mereka meninggalkan
atau mengabaikan isteri yang sebelum itu setia menyokong kejayaan suami.
Ingatlah, syaitan sering mencari jalan
bagaimana hendak merosakkan kehidupan suami isteri. Dilakukan pelbagai cara
agar suami isteri bercerai atau hidup dalam keadaan tidak bahagia.
Antara hasutan dilakukan syaitan agar
berlaku perceraian ialah suami berasa diri telah menjadi lebih hebat yang
menjadikan dia mendapat perhatian wanita lain. Lalu, dia melupai bahawa
kejayaan selama ini hasil sokongan isteri yang setia. Pun begitu, hasil hasutan
syaitan, suami lebih terpengaruh untuk menabaikan isteri.
Rasulullah pernah mengingatkan tentang
kerja syaitan yang diketuai Iblis menghancurkan rumah tangga.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya
Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para
tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling
besar fitnahnya (penyesatannya).
Maka datanglah salah satu tenteranya dan
melaporkan: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum
melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku
telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka
Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau
tentera terbaik.” (Hadis riwayat Muslim).
Hadis tersebut tidak hanya membicarakan
tentang singgahsana iblis, namun dalam ayat terakhir hadis tersebut, ada
disebut mengenai “Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya
dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya
lalu berkata: Engkau tentera terbaik.”
Sedangkan sebelum itu telah datang
kepadanya syaitan yang juga melakukan tugasnya dengan baik, tetapi tidak pula
dipuji bahkan dikatakan tidak berbuat apa-apa. Ini bermakna, apabila berlakunya
penceraian dalam kalangan pasangan Muslim, itu merupakan satu kejayaan yang
membanggakan bagi iblis dan sekutunya.
Sesungguhnya Iblis dan syaitan akan
berusaha bersungguh-sungguh merosakkan kehidupan anak Adam dengan berbagai
helah dan tipu daya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan
katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan
ucapan-ucapan amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara
mereka; syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Surah al-Isra,
ayat 53).
Kesungguhan syaitan itu juga termasuk
memisahkan pasangan suami isteri agar masjid yang dibina runtuh dan ranap bagai
ditelan bumi.
Pada dasarnya talak adalah perbuatan yang
dihalalkan. Akan tetapi, perbuatan ini disukai iblis kerana perceraian
memberikan kesan dan peristiwa buruk yang besar bagi kehidupan manusia. Betapa
banyak anak yang terbiar, tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya akibat dari
perceraian.
Tidak kira dengan apa cara sekalipun, iblis
tetap mengusahakan dan menyesatkan manusia agar sentiasa bersengketa bagi suami
dengan isteri, bergaduh dan tidak sefahaman antara keduanya.
Para suami perlu sentiasa berusaha untuk
menjaga kerukunan rumah tangga dan salah satu cara ialah menghargai jasa dan
pengorbanan isteri.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment