Pada suatu hari ketika Asiah sedang
duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu
terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.
"Ambil kotak itu dan bawa
kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di
tepinya. Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di
tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu
dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak
kayu itu.
"Comelnya bayi lelaki dalam
kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.
Pada ketika itu, Firaun
memerintahkan rakyat membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi
bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.
Apabila berita penemuan bayi lelaki
itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki
itu.
"Pengawal! Bunuh bayi ini
sekarang," perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar
Asiah.
"Bukankah kita tidak mempunyai
anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya
bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya. Dia akan memberikan
manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat
jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.
"Baiklah. Saya tidak akan bunuh
bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan
permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.
Asiah memberi nama Musa kepada bayi
tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.
Apabila Nabi Musa mula berdakwah
menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya
tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.
Pada suatu hari, Asiah duduk
menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang
digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.
Asiah yang terkejut dengan kejadian
itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya. Dengan
nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya
dengan perasaan hairan.
"Ibu,
adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh
Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa
sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya
pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.
"Firaun, ayah kamu adalah
manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa
perasaan takut dan gentar.
"Biar saya adukan perkara ini
kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan
pergi mengadu kepada Firaun.
Firaun yang mendengar aduan anaknya
berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut
ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Mesir mengikuti ajaran
Allah.
Orang yang mengingkari larangan itu
akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut
ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama
Allah.
"Dengarlah nasihat saya, wahai
Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.
"Keluarlah dari agama yang
dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai
hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata
manisnya.
"Saya tidak akan sekali-kali
keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai
oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.
"Jika saya tetap dalam agama
ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan
istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan
Firaun yang menyala dengan api kemarahan.
Usaha Firaun memujuk isterinya
menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih
sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara
lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi
Musa.
Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak
menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu
kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan
menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.
"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa
dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.
"Oleh kerana kamu masih
berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas
kamu," kata Firaun lagi.
"Pengawal, bawa perempuan ini
ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke
bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.
"Biarkan bahang matahari yang
panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya
menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.
"Allah! Allah! Allah!,"
mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu
dijalankan.
"Ya Allah! Saya mohon supaya
dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga,"
doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.
Akhirnya Asiah dapat melihat
rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat
gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.
Selepas beberapa lama tempoh
penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir
dengan kalimat Allah di mulutnya.
Begitulah kisah wanita yang berhati
waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati
tanpa belas kasihan.
No comments:
Post a Comment