Friday 12 June 2020

LELAKI DAYUS TIDAK PEDULI APA DILAKUKAN ISTERI

Berikut adalah beberapa tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah dayus:

- Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya). Cemburu lawannya dayus - Imam Al-Aini.

- Cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram. – Imam An-Nuhas.

- Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya." - Imam Az-Zahabi.

- Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective) atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga), dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali. - Imam Ibn Qayyim

Ulama bersetuju untuk kategorikan dayus ini dalam bab dosa besar. Walaupun ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.

Terdapat segelintir isteri yang sering menyalahkan suami kerana terlalu cemburu. Benar ‘cemburu buta’ itu memang menyusahkan. Tetapi dalam hal ehwal rumahtangga, apabila suami bertanya kepada isteri itu dan ini, adalah dinasihatkan agar isteri janganlah cepat untuk melenting atau memarahi suami anda yang melakukan tindakan demikian.

Isteri juga jangan rasa kecil hati lantas membuat kesimpulan bahawa suami sudah tidak percaya kepada diri anda.

Kerap berlaku, suami akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.

Sebenarnya, kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Selain itu, bergembiralah sang suami yang memperoleh isteri solehah kerana suami tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang suami, si isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperoleh wanita solehah (isteri dan anak)" - (Hadis riwayat Ahmad).

Memang amat beruntung dapat wanita solehan. Malangnya ia semakin sukar untuk mendapatkannya, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus.

Secara mudahnya, kita dapat lihat ramainya lelaki akan menjadi dayus apabila:
- Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

- Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantarnya pulang ke rumah.
- Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuan dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan auratnya terlihat.

- Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

- Membiarkan anak perempuannya berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' dan memahami.

- Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

- Membiarkan isteri keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
- Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelamatkannya dari lemas dan yang sepertinya.

- Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

- Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

Banyak lagi situasi yang boleh digambarkan tentang permasalahan dayus ini. Yang penting, dayus ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya.

Namun jika ia berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit dayus ke atas dirinya.

Wahai lelaki beriman, jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar ini. Wahai para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda, janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori dayus yang tiada ruang untuk ke syurga Allah SWT. Sayangi dan jagalah diri dan keluargamu dari api neraka.

Jadilah suami yang bertanggungjawab dan bersedia mempertahankan ahli keluarga daripada apa juga kejahatan dan dosa.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, maka ia adalah mati syahid" (Riwayat Ahmad)


No comments:

Post a Comment