Tuesday, 22 November 2022

PENGUMPULAN MANUSKRIP SEJARAH MELAYU

 
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) berusaha mengumpulkan lebih 20,000 manuskrip berkaitan ketamadunan Melayu termasuk lebih 15,000 manuskrip yang kini berada di luar negara.
 
PNM mahu mewujudkan sebuah pangkalan data induk mengumpulkan manuskrip yang dapat diakses oleh semua pihak untuk tujuan kajian dan pembelajaran.
 
Mengikut definisi PNM, manuskrip Melayu adalah karya yang bertulis tangan dalam tulisan Jawi yang dihasilkan dalam lingkungan awal abad ke-16 sehingga awal abad ke-20.
 
Manuskrip-manuskrip tersebut mengandungi pelbagai bidang seperti kesusasteraan, sejarah, undang-undang, warkah, perubatan tradisional, syair dan nazam, kitab agama, ketatanegaraan, petua, azimat, kitab ramalan dan sebagainya.
 
Sehubungan itu, PNM bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk di luar negara bagi tujuan pengesanan, pengesahan dan carian manuskrip-manuskrip tersebut.
 
Selain itu terdapat juga manuskrip yang dikatakan manuskrip paling bernilai yang kini dipamerkan di PNM iaitu Bustan-as-Salatin (Taman Raja-raja) yang ditulis oleh Syekh Nuruddin Al-Raniri, pendakwah dari Gujerat, India yang bekerja dan melawat Sultan-sultan di Acheh dan Nusantara.
 
Manuskrip penting lain yang dalam simpanan PNM ialah Hikayat Hang Tuah, Tuhfat al-Nafis Hikayat Sejarah Melayu, Hukuman Undang-undang Kesultanan Melaka dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment