Sunday, 31 July 2022

CARA MEMBERI SALAM

Agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Hubungan dengan Allah SWT iaitu dengan cara kita beribadah dan mentaati segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Manakala hubungan dengan manusia pula ialah kita melaksanakan kewajipan-kewajipan dan menunaikan hak-hak sesama manusia seperti sifat hormat-menghormati, sayang-menyayangi, nasihat-menasihati, bantu-membantu, sapa-menyapa, memberi salam dan seumpamanya.

Dalam hal memberi salam sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:”Hak muslim pada muslim yang lain ada enam. Lalu ada yang menanyakan, apa saja keenam hak itu ya Rasulullah? Rasulullah bersabda: Apabila engkau bertemu, ucapkanlah salam padanya, apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, apabila dia bersin lalu dia memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), doakanlah dia (dengan mengucapkan yarhamukaallah), apabila dia sakit, lawatlah ia, dan apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya (sampai ke tanah kuburan).

Begitu indah, langkah dan teraturnya ajaran agama Islam. Sesungguhnya memberi salam itu adalah amalan yang mulia dan sangat digalakkan dalam agama Islam.

Salam ialah ucapan penghormatan yang ditujukan kepada sesama insan lebih-lebih lagi sesama saudara muslim sama ada yang dikenali ataupun tidak sama ada ketika berjumpa, memulakan atau mengakhiri perbualan atau pertemuan dan sebagainya.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila kamu bertemu dengan saudara kamu (sesama Islam) berilah salam ke atasnya”.

Allah SWT memberi keutamaa kepada yang mendahului memberi salam sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Abi Umamah, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seutama-utama manusia bagi Allah ialah sesiapa yang memulakan memberi salam.”

Adapun hukum seseorang memberi salam kepada saudaranya sesama Islam yang lain itu adalah sunat, manakala menjawabnya pula hukumnya adalah wajib.

Para ulama sangat menganjurkan untuk menyebutkan lafaz salam itu dengan sempurna dan sebaik-baik ucapan salam itu ialah dengan lafaz: “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh” yang bermaksud “selamat sejahtera, kerahmatan dan keberkatan Allah ke atas kamu semua”.

Dan hendaklah dijawab dengan:”Waalaikumsalam Warahmatullahi Wabarakatuh” yang maksudnya “dan ke atas kamu juga selamat sejahtera, kerahmatan dan keberkatan Allah”

Dengan mengucapkan salam ke atas seseorang, kita akan memperoleh banyak kelebihan, pahala yang berlipatganda dan ganjaran yang setimpal dengan apa yang telah kita amalkan.

Sebab itu muslim yang percaya kepada hari pembalasan mengucapkan salam apabila bertemu atau memulakan percakapan atau tulisan.

Maksud sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang kamu bertemu dengan seorang sahabatnya, maka hendaklah mengucapkan assalamualaikum warahmatullah.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Nasai).

Hadis itu jelas bermaksud mengarahkan agar setiap Muslim mengucapkan salam apabila berjumpa dengan Muslim lain. Malah dalam hadis lain ada dijelaskan larangan bercakap tanpa dimulakan dengan salam.

Maka sebab itu, individu yang beriman mengutamakan memberi salam dan menjawab salam kerana ia sebagai mentaati suruhan agama. Jelas sekali betapa pentingnya ucapan salam diucapkan ketika bertemu sesama Muslim.

Hadis diriwayatkan Tabrani dan Abu Naim bermaksud: “Sesiapa mulai bercakap-cakap sebelum memberi salam, maka janganlah kamu menjawab percakapannya, sehinggalah dia memulainya dengan memberi salam.”

No comments:

Post a Comment