Sunday, 3 June 2018

URUS PERNIAGAAN BERASASKAN TAKWA

Islam menganjurkan perniagaan dijalankan berasaskan keyakinan tauhid dan takwa. Islam tidak memisahkan soal dunia dan akhirat, termasuklah dalam urusan perniagaan. Rasulullah sentiasa memberi perhatian dalam urusan perniagaan dan menunjukkan cara dikehendaki agama bagaimana sesuatu urusan perniagaan perlu dilakukan. Terdapat lebih 500 buah hadis berkaitan perniagaan diriwayatkan.    

Namun, disebabkan hasutan syaitan yang sentiasa memperdayakan manusia dengan keuntungan di dunia semata-mata, ramai peniaga kelabu mata melakukan perkara bertentangan dengan tuntutan agama. Antara amalan dosa paling banyak dilakukan sesama manusia ialah berkaitan urusniaga. 

Mana-mana pihak sengaja menggunakan jalan salah untuk mengaut keuntungan dalam perniagaan, maka balasan sebenar yang diperolehi ialah kerugian yang tidak disedari berlaku. Mereka cuba menipu Allah, tetapi Allah lebih mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan.

Firman Allah bermaksud: “Mereka itulah yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tiadalah beruntung dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.” - (Surah al-Baqarah, ayat 16).

Sesungguhnya, dalam perniagaan memang terdapat turun naik harga. Namun pergerakan tersebut bukan boleh dilakukan tanpa sebab. Peniaga wajar menaikkan harga jika kos membuat atau kos operasi meningkat. Cara itu bertujuan mengekalkan kadar keuntungan agar dapat meneruskan perniagaan.

Pembeli dapat menerima hakikat kenaikan harga atas alasan tersebut. Pembeli ‘rela’ membayar lebih asalkan peniaga dapat membekalkan apa yang diperlukan. Jika peniaga menghentikan perniagaan, pembeli juga menanggung kesukaran. Konsep memberi dan menerima amat penting dalam perniagaan.

Keadaan itu sebahagian bentuk kontrak sosil dan tanggungjawab sesama muslim. Antara Muslim dengan Muslim lain saling memberi manfaat. Allah memerintahkan agar manusia saling membantu antara satu sama lain agar kehidupan aman damai dan dapat memakmurkan muka bumi dengan perkara kebaikan.

Peniaga yang pecah amanah dalam menjalankan perniagaan merupakan golongan yang rugi. Keuntungan yang diperolehi tidak diberkati dan menjadi beban kepada kehidupannya di akhirat. Harta yang diperoleh secara batil akan menjadi bahan bakar kepada pemiliknya di akhirat nanti.

Ramai peniaga dalam urusan perniagaan melakukan sumpah bohong dalam menetapkan harga. Mereka mendakwa harga terpaksa dinaikkan kerana kosnya meningkat, modalnya mahal, harga tidak balik modal, barangan sukar diperolehi dan sebagainya.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Mereka yang melakukan sumpah bohong dalam perniagaan tidak akan mendapat keberkatan.” - (Hadis riwayat Bukhari).

Perbuatan menipu pembeli untuk mendapat untung lebih sedemikian kerap dilakukan penjual milik persendirian. Pemilik sendiri berurusan dengan pembeli dan memberi peluang tawar menawar. Kesempatan inilah digunakan untuk menipu pembeli. Peniaga menawarkan harga yang tinggi kerana yakin tetap ada pembeli yang sanggup membayarnya.

No comments:

Post a Comment