Sunday, 3 June 2018

MENGAPA PEMBELI RELA DITIPU PENIAGA

Pembeli perlu menjadi pengguna yang bijak. Sekiranya diketahui harga tidak berpatutan, lebih baik tidak membelinya. Sikap pembeli yang ‘rela’ ditipu dan ditindas menjadi punca mengapa peniaga semakin galak melakukan perbuatan itu.

Manakala gedung perniagaan pula lebih kerap menipu pembeli dengan mendakwa potongan harga besar-besaran dan tawaran istimewa.  Sedangkan sebenarnya harga dinaikkan sebelum dibuat potongan harga. Sebab itu ada gedung membeli belah boleh menawarkan potongan harga sampai 80 peratus.  Hakikatnya, sekiranya ada potongan harga, kadar sebenarnya hanya rendah.

Di samping itu, pembeli sering tertipu dengan barangan tiruan dan mutu yang rendah. Stok lama dicampur dengan barang baru dan tiruan. Barang itu nampak hebat dan berjenama, tetapi mutunya tidak seperti digambarkan. Penipuan ini mengena disebabkan pengguna tidak berhati-hati dan terlalu mengidamkan sesuatu nampak berjenama. Mereka ingin kelihatan hebat ketika menyambut perayaan. 

Rasulullah menegah amalan memperdaya pembeli. Dalam satu riwayat, Rasulullah dapat mengesan peniaga yang meletakkan barang baik di bahagian atas dan barang buruk (basah) di bahagian bawah. Lantas Rasulullah bersabda bermaksud: “Kenapa kamu tidak letakkan ia (yang buruk) di atas supaya dapat dilihat oleh manusia (pembeli). Sesiapa yang menipu bukan termasuk dalam golongan kami.” - (Hadis riwayat Muslim).

Peniaga yang menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah akan dilindungi oleh Allah daripada menanggung kerugian. Biarpun keuntungan bagi setiap jualannya sedikit, namun disebabkan ramai yang datang membeli, jumlah keuntungan tetap banyak juga. Itu dinamakan keberkatan dan pertolongan Allah. 

Rasulullah pernah bersabda menjelaskan sesiapa berpada-pada dalam kehidupannya dan rela dengan pemberian Allah, maka dia akan menjadi manusia paling kaya. Kaya dimaksudkan bukan semestinya kaya harta benda atau wang ringgit, tetapi kaya turut mencangkupi kaya jiwa, semangat, keikhlasan, kegembiraan, ketenangan dan kaya iman.

Sebagai orang Islam, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah ketika menjalankan perniagaan. Baginda selalu bersikap jujur, amanah dan ada perasaan belas kasihan ketika menjadi peniaga. Sebab itu, Rasulullah selalu mendapat keuntungan dan keberkatan. Para pembeli telah mengenali baginda dan sentiasa ingin berurusan dengan baginda kerana yakin tidak akan tertipu.

No comments:

Post a Comment