Doa yang dipohon merupakan peringatan seorang hamba kepada Penciptanya.
Ingatan tersebut merupakan susunan kata yang disenangi oleh Allah SWT, yang
sentiasa mahu mendengar suara hamba-Nya yang dikasihi. Kerana itu, seseorang
yang tahu akan hakikat atau rahsia qada dan qadar akan terus berdoa sambil
berusaha, tidak kira doanya terlaksana ataupun tidak.
Jika seseorang itu memahami bahawa apabila takdir itu telah termaktub di
Loh Mahfuz, tidak ada makhluk yang boleh mengubahnya. Ada rahsia ketuhanan
terhadap qada, qadar yang tidak mudah untuk difahami oleh hamba-hamba-Nya.
Setiap individu mempunyai keinginan dan keperluan
masing-masing sama ada positif atau negatif kerana mereka terpaksa menghadapi
pelbagai ragam hidup seperti cabaran, halangan dan dugaan. Mereka berdoa kepada
Allah memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat terkabul.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak boleh
ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan
membuat baik kepada ibubapa. (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).
Sesungguhnya Allah SWT amat dekat dengan
hamba-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah
bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa
apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku)
dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu dalam kebenaran.”
(Surah al-Baqarah, ayat 186).
Firman Allah SWT yang bermaksud: Aku mengabulkan
permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah
mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (al-Baqarah: 186).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ada tiga
golongan yang doa mereka tidak ditolak. Pertama, orang yang berpuasa hingga ia
berbuka. Kedua, imam yang adil dan ketiga, doa orang yang dizalimi."
(riwayat Tirmizi)
Dalam hal berdoa orang berpuasa dibandingkan
dengan pemimpin yang adil dan orang dizalimi. Doa orang berpuasa mustajab.
Didengar, tidak ditolak Allah SWT, bahkan dimakbulkan, insya-Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya
orang yang berpuasa memiliki doa yang tidak tertolak pada saat berbuka."
(riwayat Ibnu Majah)
Sesungguhnya, salah satu cara untuk membebaskan
kesempitan hidup ialah dengan melazaimkan kalimah istighfar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa
yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada
segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan
memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya." (riwayat Abu Daud)
Sedangkan ketika menerima kurniaan atau nikmat,
Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis berikut, “Setiap
orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca Alhamdulillah maka Allah SWT
akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang telah ia terima."
(riwayat Ibnu Majah)
No comments:
Post a Comment