Kampung Janda Baik pada mula diteroka dan
dibuka oleh tiga orang individu yang datang dari Bentong, Pahang pada 1932
iaitu Yaseh Daun, Kadir Hitam dan Idris Awang. Mereka dari Kampung Ketari dan
Kampung Benus.
Sejarah nama Janda Baik ada bebera variasi. Salah satunya berkaitan dengan kisah Orang Asli. Dikisahkan, Orang Asli dari suku kaum Temuan yang diketuai seorang Tok Batin bernama Emok telah mula menduduki sekitar kawasan tersebut.
Tok Batin Emok yang sudah berkahwin, bagaimanapun telah terpikat dengan seorang anak dara dari suku kaum Orang Asli lain yang mendiami Hulu Kenaboi di Negeri Sembilan. Kawasan Hulu Kenaboi ini boleh dilawati dengan menggunakan jalan hutan dari Kampung Janda Baik.
Oleh kerana Tok Batin terbabit terlalu mencintai anak dara jelita berasal dari Hulu Kenaboi itu, maka dia pun menceraikan isterinya bernama Endut. Tok Batin Emok ke Hulu Kenaboi untuk tinggal bersama isteri baharunya, sedangkan bekas isterinya terus tinggal di kampung asal.
Bagaimanapun, Tok Batin Emok yang pada asalnya kaya telah jatuh miskin akibat terlalu mengikut kehendak isteri mudanya. Selepas jatuh miskin, isterinya lari ke Jelebu, meninggalkan suaminya.
Maka, Tok Batin pulang semula ke Kampung Janda Baik. Dia mendapati jandanya tetap menunggunya dengan penuh setia dan sedia menerimanya semula sebagai suami. Mereka pun bersatu kembali dan hiduplah mereka dengan kebahagiaan.
Sejak dari itu kampung ini dikenali sebagai ‘Janda Balik’ yang diambil daripada peristiwa Endut ‘berbalik’ kepada Emok.
Namun, nama Janda Balik lama-kelamaan telah bertukar menjadi Janda Baik apabila perkataan itu disebut berulang kali secara cepat.
Kemudian, pada 1934, Pegawai Daerah Bentong ketika itu, Orang Kaya Shahbandar Datuk Hussain yang merupakan datuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahukan kampung tersebut diwartakan.
Sehubungan itu, orang kampung telah berpakat untuk menetapkan nama dan hasil pungutan suara, mereka telah mencadangkan tiga nama untuk diwartakan secara rasmi iaitu Kampung Tiga Haji, Kampung Hulu Benus dan Kampung Janda Balik.
Nama Kampung Tiga Haji dicadangkan berdasarkan tiga orang haji yang membuka kampung ini. Cadangan nama Kampung Hulu Benus pula diambil berdasarkan kedudukan Janda Baik yang terletak di bahagian hulu kepada Kampung Benus Ulu dan Kampung Benus Hilir. Manakala Janda Balik berdasarkan kisah Endut dengan Emok.
Setelah dibuat pemilihan di antara tiga cadangan nama, maka persetujuan diambil untuk memilih nama Janda Balik sebagai nama kampung. Nama ‘Janda Balik’ ini akhirnya diubah suai sedikit lalu menjadi nama ‘Janda Baik’.
Gambar - Penduduk di atas pelantar masjid pertama di kampung itu pada 1933.
No comments:
Post a Comment