Thursday 22 June 2023

HIKING BUKIT BATU SAWA, JELEBU

 
Salah satu destinasi hiking (kembara berjalan kaki) popular di Jelebu, Negeri Sembilan ialah Bukit Batu Sawa. Dengan ketinggian hanya 333.33 meter dari paras laut, membolehkan hiking dilakukan dalam dalam masa yang singkat dan disertai oleh kanak-kanak.
 
Kepada mereka yang belum pernah sampai di tempat itu, boleh sahaja menggunakan aplikasi Waze dan taip sahaja Bukit Batu Sawa Parking/Trailhead atau guna maps.
 
Hiking Bukit Batu Sawa dikira laluan mudah dan boleh dilakukan secara santai. Memang sesuai untuk semua peringkat umur (janji sihat dan bertenaga). Kalau berjalan laju dan tanpa henti hanya mengambil masa kira-kira 20 minit boleh sampai di puncak. Paling lewat pun kira-kira satu jam (itu kira santai sangat dan banyak berhenti berbanding berjalan).
 
Kenderaan boleh diletakkan di tepi jalan. Tetapi, kena sampai awal. Kalau tidak ada tempat kosong, boleh letak di tempat agak jauh sedikit, lebih kurang 10 minit berjalan kaki sebelum sampai tempat permulaan pendakian. Tempat khas letak kereta yang dikenakan bayaran.
 
Bermula dengan berjalan di kebun getah. Jalan sekejap sahaja sebelum memasuki kawasan hutan. Permulaan laluan agak landai. Jadi tidak penat mana pun.
 
Terus berjalan sehingga terjumpa pencawang elektrik ini. Jangan risau, laluan sangat jelas.
 
Kemudian akan jumpa beberapa laluan yang bertali. Dari sini ambil masa dalam 10 minit untuk sampai ke puncak.
 
Teruskan perjalanan ke puncak. Sekiranya sudah nampak jenis pokok yang seakan warna merah maka teruskan perjalanan. 5 minit lagi akan sampai ke puncak.
 
Apabila sampai di puncak Bukit Batu Sawa, jangan lupa bergambar di satu sudut yang ada batu pejal yang agak meninggi berbanding kawasan di sekelilingnya. Sudut pandang yang cukup luas melihat kawasan bukit dan hutan di sekitarnya.
 
Batu itu boleh dikatakan ‘titik’ tanda bukti telah sampai di puncak Bukit Batu Sawa.

No comments:

Post a Comment