Saturday 3 February 2018

JAGA TELINGA ZAHIR DAN ROHANI

Anugerah pendengaran adalah antara paling kerap disebut dalam al-Quran baik dari segi penciptaannya mahupun kegunaannya.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah as-Sajdah, ayat 9)

Tanda syukur dengan nikmat pendengaran boleh dizahirkan dengan dua cara iaitu zahir dan rohani. Bersyukur secara zahir ialah dengan menjaga keselamatan dan fungsi telinga. 

Organ telinga agak sensitif dan mudah rosak.  Jadi kita perlu mengelak daripada perbuatan atau perbuatan yang boleh menyebabkan ia rosak.

Manakala kesyukuran nikmat pendengaran secara rohani pula ialah menggunakannya untuk tujuan kebaikan.  Pendengaran adalah pancaindera untuk berkomunikasi selain penggunaan mulut. 

Kita dapat memahami perkataan yang diucapkan oleh individu lain.  Komunikasi itu seharusnya perkara yang mendatangkan kebaikan seperti mendengar kalimah suci, memberi ilmu pengetahuan dan rezeki yang halal. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Supaya Kami jadikan peristiwa itu peringatan bagi kamu dan supaya diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.” (Surah al-Haqqah, ayat 12)

Mereka yang bersyukur dengan nikmat pendengaran akan berusaha mengelak daripada mendengar sesuatu yang buruk.  Suara atau bunyian yang melalaikan serta berunsur dosa hendaklah dihalang daripada memasuki telinga. 

Antara suara yang mesti dielakkan ialah yang berunsurkan umpat keji, celaan terhadap orang lain, ungkapan berbau adu domba, tuduhan dan fitnah.

Sesungguhnya mereke yang lebih suka menggunakan pendengaran untuk perkara buruk dan mengelak diri untuk mendengar serta mematuhi perintah Allah SWT, maka mereka itu adalah mereka yang hina dan lalai daripada melakukan amanah yang dipertanggungjawbkan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah al-Araf, ayat 179)

No comments:

Post a Comment