Sunday 4 February 2018

DASAR SOSIAL NEGARA,

Satu hal yang sering membawa masalah di negara ini ialah penyelewengan akidah dan sikap jahil umat Islam terhadap persekitaran. 

Saban tahun ada saja kumpulan yang dikenal pasti menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. Pengaruh ajaran sesat dan pertubuhan haram telah banyak melahirkan masyarakat yang berlawanan dengan hukum agama dan inspirasi negara.

Remaja merupakan antara golongan yang mudah terjebak dalam kancah itu. Untuk memastikan pembangunan seimbang antara rakyat dan negara, kerajaan telah melancarkan Dasar Sosial Negara (DSN). 

Dasar ini bertujuan bagi melahirkan satu masyarakat yang lebih cemerlang budi pekerti dan cara hidup. 

Pembangunan insan adalah satu aspek utama dalam ajaran Islam.  Kekuatan insan menjadi tunjang kepada kekuatan elemen-elemen lain dalam kehidupan manusia. 

Sebaliknya, kelemahan berpunca daripada insan akan membawa kepada kegagalan dan masalah hidup yang lain.

DSN yang dilancarkan oleh kerajaan bertepatan dengan perkembangan terbaru di mana sekarang ini masalah sosial di kalangan rakyat semakin membimbangkan. 

Dalam ajaran Islam, segala perbuatan buruk perlu dijauhi bagi melahirkan masyarakat yang hidup aman dan sejahtera. 

Allah mencipta manusia sebagai makhluk yang paling istimewa dan mulia di sisi-Nya.  Manusia mendapat darjat kemuliaan melebihi daripada malaikat dan segala makhluk lain. 

Namun, sekiranya manusia tidak beriman dan melakukan perbuatan ditegah, maka kemuliaan itu bertukar sebaliknya.

Firman Allah bermaksud: “Kemudian Kami kembalikan dia ke taraf makhluk yang paling rendah.” - (Surah at-Tin, ayat 5).

Negara kita telah mencapai kemajuan ekonomi, pembangunan yang pesat dan peningkatan taraf hidup rakyat.  Tetapi, pembangunan negara tidak bermakna jika rakyat menghadapi masalah sosial yang serius. 

Sebenarnya, tanggungjawab rakyat terhadap negara merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. Dalam hal ini, Islam mementingkan perbuatan yang mendatangkan kebaik kepada negara menjauhkan sebarang perbuatan yang menyebabkan keburukan.

Kesetiaan tidak hanya pada ungkapan, angan-angan dan slogan semata-mata.  Sebaliknya, kesetiaan rakyat teruji melalui keyakinan terhadap dasar negara, amalan hidup dan pengorbanan berkaitannya. 

Nilai kesetiaan kepada negara bergantung kepada perkara yang disumbangkan yang diberikan terhadap negara.

DSN menggariskan dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial. 

Yang demikian itu akan terbina ketahanan nasional dna kesejahteraan hidup masyarakat yang maju lagi mantap.

DSN diharapkan mampu mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mantap dari segi sosial, ekonomi dan teknologi.  Melaluinya setiap anggota masyarakat berpeluang serta berkeinginan untuk memperkembangkan potensi diri secara optimun di dalam persekitaran sosial yang sihat. 

Hal ini boleh dicapai berdasarkan ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, prograsif, penyayang, adil dan saksama. Penghayatan matlamat DSN amat penting disemai dalam setiap sanubari rakyat.

Hari ini banyak gejala sosial menular dalam masyarakat seperti penderaan kanak-kanak, dadah, rasuah, seks bebas, sumbang mahram, cetak rompak, gangsterisme, vandalisme, keganasan rumah tangga dan penyeludupan. 

Sebenarnya, gejala sosial berpunca daripada perubahan gaya hidup masyarakat.  Adab sopan, rasa hormat dan keyakinan kepada ajaran agama menjadi pudar akibat hakisan pengaruh luar yang meresap dalam kehidupan masyarakat kita. 

Keadaan ini sudah lama menular di Barat dan negara yang tidak merancang menangani masalah sosial secara bersepadu.

Berdasarkan itu, kerajaan mengambil langkah bijak melancarkan DSN yang bertujuan menangani masalah sosial secara tersusun, bersepadu dan berkesan. 

DSN adalah untuk seluruh rakyat Malaysia sesuai dengan objektif umumnya bertujuan menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama, budaya, jantina dan wilayah.

DSN biarpun dirancang untuk masyarakat majmuk dan berlainan agama, secara konsepnya ia memenuhi apa yang dikehendaki Islam.  Islam agama syumul yang menetapkan kebaikan sebagai piawaian amalan.  Apa saja mendatangkan kebaikan adalah fitrah Islam, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat. 

Secara khususnya objektif DSN bertujuan memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dapat dipenuhi.  Hal ini selaras tanggungjawab kerajaan menyediakan keperluan rakyat pada tahap terbaik mungkin. 

Bagi menjamin kesejahteraan menyeluruh, hendaklah dipastikan supaya setiap individu, keluarga dan masyarakat berhak menikmati, antaranya persekitaran fizikal yang baik. Manakala persekitaran sosial yang mengutamakan nilai-nilai murni.

Sesungguhnya, persekitaran sosial memainkan peranan penting dalam menjamin segala usaha negara mencapai matlamat.  Jika persekitaran sosial rapuh dan dipenuhi nilai negatif, kehidupan rakyat berdepan dengan masalah besar. 

Oleh itu, penekanan kepada pembinaan nilai-nilai hidup murni di kalangan rakyat menjadi agenda utama negara.  Penekanan ini diberi khusus kepada golongan pelajar dan remaja yang bakal mengambil alih kepimpinan negara pada masa depan. 

Berdasarkan itu, Individu tidak mengamalkan nilai-nilai hidup murni tidak layak memimpin negara.  Sekiranya tampuk kepimpinan dipegang individu tidak berakhlak, negara bakal hancur dan seluruh sistem pentadbiran negara tidak berfungsi dengan teratur. 

Hilangnya nilai-nilai hidup murni di kalangan pelajar dan remaja berpunca kurang perhatian menyeluruh ibu bapa, masyarakat dan agensi pengawasan terhadap pendidikan akhlak golongan itu.  

Keadaan bertambah gawat apabila orang dewasa sendiri ramai yang mengamalkan cara hidup bertentangan dengan kehendak agama dan keperluan sosial.  Apa dilakukan orang dewasa menjadi ikutan kepada golongan pelajar dan remaja. 

Kini, senarai kesalahan moral pelajar dan remaja semakin panjang.  Kesalahan akhlak golongan itu sudah setaraf kesalahan jenayah orang dewasa.  Bahkan, perkara yang dilakukan orang dewasa, turut dicuba pelajar dan remaja.  Fenomena ini memberi gambaran bahawa pelajar berpotensi melakukan apa saja kesalahan seperti orang dewasa.

Jika fenomena ini tidak dibendung, pada dekad akan datang negara akan dikuasai oleh rakyat tidak mempunyai nilai-nilai hidup murni. 

Sesungguhnya kejayaan DSN memerlukan sokongan sepenuhnya daripada sektor awam, swasta, dan seluruh rakyat.  Dasar yang penuh dengan nilai-nilai murni ini adalah dasar kerajaan untuk seluruh rakyat.  Rakyat bertanggungjawab merealisasinya untuk kesejahteraan dan kejayaan bersama.

No comments:

Post a Comment