Saturday 3 February 2018

NIKMAT PANCAINDERA PENDENGARAN

Nikmat pendengaran adalah pancaindera yang terpenting.  Malah, sesiapa tidak sempurna pendengaran akan turut mengalami satu lagi kekurangan ialah bisu atau tidak dapat mengucapkan kata-kata dengan sempurna. 

Anugerah pendengaran adalah antara paling kerap disebut dalam al-Quran baik dari segi penciptaannya mahupun kegunaannya.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah as-Sajdah, ayat 9)

Kajian perubatan berkaitan proses pembentukan manusia dalam rahim ibu, mendapati pancaindera pertama manusia yang berfungsi ialah pendengaran.  

Menurut pakar anatomi manusia, Profesor Keith Moore, deria yang pertama terbentuk pada perkembangan manusia ialah pendengaran. Fetus boleh mula mendengar pada minggu ke 24.  

Pancaindera penglihatan terbentuk selepas itu, pun begitu pada minggu ke 28 baru retina mula sensitif kepada cahaya. 

Sebab itu, ibu boleh mula mendidik anak sejak dalam kandungan lagi dengan cara bercakap atau memberikan mereka mendengar sesuatu untuk mengaktifkan deria pendengaran dan juga otak. 

Ketika baru dilahirkan dan dalam beberapa bulan pertama, pancaindera pendengaran paling sensitif dan menjalin interaksi dengan dunia luar. 

Bayi mudah sensitif dan memberi reaksi kepada bunyi di sekitarnya, terutama suara ibunya.  Pada awal kelahiran, fungsi mata agak terbatas, tetapi pendengaran telah berada di tahap optimun. 

Sebab itu, Islam mengajarkan agar kalimah suci didengarkan ke telinga bayi sebaik selepas dilahirkan atau beberapa ketika selepas itu.  Perintah memperdengarkan azan dan iqamah ke telinga bayi adalah bukti fungsi pendengaran telah lengkap sejak awal kelahiran. 

Justeru, amat penting kita bersyukur dengan nikmat pendengaran dan menjaganya dengan sebaik mungkin.  Cara mana kita menggunakan nikmat pendengaran manifestasi tahap kesyukuran kepada  Allah SWT yang meminjamkan nikmat begitu berharga. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu, dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati agar kamu bersyukur." (Surah an-Nahl, ayat 78).

No comments:

Post a Comment