Nikmat pendengaran adalah pancaindera yang
terpenting. Malah, sesiapa tidak
sempurna pendengaran akan turut mengalami satu lagi kekurangan ialah bisu atau
tidak dapat mengucapkan kata-kata dengan sempurna.
Anugerah pendengaran adalah antara paling kerap disebut dalam
al-Quran baik dari segi penciptaannya mahupun kegunaannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian Dia menyempurnakan
kejadiannya serta meniupkan padanya roh ciptaan-Nya dan Dia mengurniakan kepada
kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur,
tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.” (Surah as-Sajdah, ayat 9)
Kajian perubatan berkaitan proses pembentukan manusia dalam rahim
ibu, mendapati pancaindera pertama manusia yang berfungsi ialah
pendengaran.
Menurut pakar anatomi manusia, Profesor Keith Moore, deria yang
pertama terbentuk pada perkembangan manusia ialah pendengaran. Fetus boleh mula
mendengar pada minggu ke 24.
Pancaindera penglihatan terbentuk selepas itu, pun begitu pada
minggu ke 28 baru retina mula sensitif kepada cahaya.
Sebab itu, ibu boleh mula mendidik anak sejak dalam kandungan lagi
dengan cara bercakap atau memberikan mereka mendengar sesuatu untuk
mengaktifkan deria pendengaran dan juga otak.
Ketika baru dilahirkan dan dalam beberapa bulan pertama,
pancaindera pendengaran paling sensitif dan menjalin interaksi dengan dunia
luar.
Bayi mudah sensitif dan memberi reaksi kepada bunyi di sekitarnya,
terutama suara ibunya. Pada awal
kelahiran, fungsi mata agak terbatas, tetapi pendengaran telah berada di tahap
optimun.
Sebab itu, Islam mengajarkan agar kalimah suci didengarkan ke
telinga bayi sebaik selepas dilahirkan atau beberapa ketika selepas itu. Perintah memperdengarkan azan dan iqamah ke
telinga bayi adalah bukti fungsi pendengaran telah lengkap sejak awal
kelahiran.
Justeru, amat penting kita bersyukur dengan nikmat pendengaran dan
menjaganya dengan sebaik mungkin. Cara
mana kita menggunakan nikmat pendengaran manifestasi tahap kesyukuran
kepada Allah SWT yang meminjamkan nikmat
begitu berharga.
Firman Allah SWT bermaksud: "Allah mengeluarkan kamu dari perut
ibumu, dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu
pendengaran, penglihatan, dan hati agar kamu bersyukur." (Surah an-Nahl,
ayat 78).
No comments:
Post a Comment