Sunday 25 July 2021

KULAT PUSU TUMBUH DI KAWASAN TEMPAT TINGGAL ANAI-ANAI

Kulat tumbuh di atas tanah atau sumber nutriennya. Kulat diakui sebagai herba yang berguna pada manusia. Sesetengahnya tumbuh meliar manakala sesetengah lagi ditanam oleh manusia sebagai makanan serta untuk perubatan.

Kajian mendapati kulat boleh mengurangkan kandungan gula dan menambah insulin di dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan barah.

Kulat boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayur. Selain itu pada masa sekarang kebanyakan kulat ini telah dijadikan serbuk di dalam bentuk kapsul. Ini untuk memudahkan para pengguna kerana kulat yang segar agak terhad di dalam pasaran.

Salah satu kulat yang diminat ialah kulat pusu. Kulat ini biasanya tumbuh selepas musim hujan. Sebab itu ada pepatah, "seperti kulat tumbuh selepas hujan", menggambarkan banyak yang tumbuh.

Kulat pusu agak unik. Tumbuhnya hanya setahun sekali di satu-satu tempat. Sebab itu kulat pusu juga dipanggil kulat tahun kerana tumbuh hanya setahun sekali.

Dinamakan kulat pusu kerana biasanya tumbuh di kawasan ada pusu atau busut. Pembiakannya dikaitkan dengan anai-anai. Di mana ada anai-anai dan busut, tidak kiralah busut itu rendah atau nampak mendatar, di situ ada potensi akan tumbuh kulat pusu.

Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Cara pembiakan atau penyebarannya adalah simbiosis obligat dengan anai-anai spesis  Odontotermes spp. 

Anai-anai membiakkan kulat dengan cara menghadamkan kayu-kayu dengan pertolongan mikrob-mikrob yang berada dalam perut mereka, mencerna kayu-kayu dan membuangnya sebagai najis didalam pusu tempat mereka tinggal.

Kulat pula memerlukan najis anai-anai untuk tumbuh, di mana miseliumnya tumbuh pada kayu-kayu yang telah dicerna oleh anai-anai itu.

Anai-anai sebaliknya menggunakan bahan yang telah terkompos oleh kulat sebagi makanan. Inilah yang dikatakan hidup bersama sehidup semati.

Kulat pusu boleh ditemui di kawasan berhampiran rumah, kawasan belukar, kebun getah, kebuh kelapa sawit, kebun dan mana-mana kawasan yang tidak tercemar dengan racun serangga.

Setakat ini kulat pusu masih belum dapat ditanam atau diusahakan secara komersial seperti kulat-kulat lain. Diharapkan ada orang mencuba menanam cendawan pusu. Permintaan kulat busut amat tinggi.

Kulat pusu tidak hidup lama, jangkahayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka.

Semasa hari kedua juga teksturnya sedikit kenyal dan keras. Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh. 

Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua. Jika dipungut pada hari ketiga, kualitinya sudah berkurangan apabila topinya telah kembang dan tidak lagi kenyal. Topi yang telah kembang juga terdapat hidupan kecil yang perlu dicuci atau dibuang sebelum dimasak.

Sebab itu, jika bertemu dengan pokok kulat pusu mula tumbuh (hari pertama), maka pada keesokkan perlu dicabut. Memandang tidak dapat diduga bila cendawan busut tumbuh, kerap kali cendawan busut rosak tidak diambil.

Sebab itu sering diungkapkan istilah "rezeki terpijak" apabila berpeluang menemui cendawan tahun ini.

 

No comments:

Post a Comment