Wednesday 21 July 2021

SEJARAH PERTEMPURAN SUNGAI SEMUR

Pahlawan tak pernah mengalah, jiwanya teguh berbakti buat negara. Peristiwa Hitam Sungai Semur banyak berikan tauladan buat Malaysia.

Ancaman petualang negara, memporak perandakan Malaysia menjadi parut yang tidak mudah dilupakan.

Kekejaman pihak komunis tanpa belas dan ehsan membunuh insan tak bersalah demi memperjuangan idealogi songsang disanggah kita.

Kisah Sungai Semur kekal menjadi inspirasi kentalnya jiwa Pahlawan pada zaman penentangan komunis.

Sepatutnya kita pada hari ini mencontohi jiwa-jiwa murni pahlawan dahulu yang teguh kesetiaan mereka mempertahankan kedaulatan tanpa rasa berbelah bagi.

Peristiwa serang hendap adalah berikutan penugasan Kompeni D, Batalian Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (3 RAMD) di kawasan Gua Musang.

Pada awal bulan Mac 1950, Kompeni D, 3 RAMD yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan telah dihantar untuk tugas "cari dan musnah" berhampiran Gua Musang, Hulu Kelantan kerana dikhuatiri menjadi tempat persembunyian komunis.

Kompeni ini terdiri daripada Platun 11 dan Platun 12 di Pangkalan Pulai. Manakala Platun 10 di Pangkalan Bertam.

Pada 23 Mac 1950, jam 7.30 pagi, pasukan Platun 12 dengan kekuatan 25 anggota tentera diketuai oleh Leftenan Muda Hassan Bin Yassin, Koperal Jamaludin Bin Mohamad, empat Lans Koperal, dan 19 prebet ditugaskan membuat rondaan ke Sungai Nenggiri selama tiga hari.

Platun ini disertai oleh sepasukan Polis Khas atau Special Constable berkekuatan 16 anggota yang diketuai oleh Sarjan Wan Yaacob yang sedang membuat pemantauan ke atas sekumpulan lelaki Cina seramai 18 orang dari Kampung Pulai yang sedang membuat kerja mengumpul atap nipah di dalam hutan.

Pada keesokan harinya, jam 2 petang, mereka berhenti makan tengah hari selepas selesai membuat rondaan. Leftenan Muda Hassan kemudian memberi arahan untuk pulang ke pangkalan mereka di Pulai pada hari seterusnya.

Pada 25 Mac 1950, jam 09.15 pagi, anggota Platun 12 bersiap sedia untuk pulang ke kem mereka. Leftenan Muda Hassan memberitahu Sarjan Wan Yaacob bahawa mereka akan pulang ke Pulai.

Namun, pekerja-pekerja Cina masih belum selesai dengan kerja-kerja mereka. Jadi, Leftenan Muda Hassan mengarahkan Sarjan Wan Yaacob supaya berada di lokasi. Manakala beliau membawa anggota platunnya untuk pulang ke markas.

Mereka menyusuri air Sungai Semur hingga jam 10.30 pagi dan melewati kawasan berbukit. Namun dengan secara tiba-tiba, Platun 12 diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis berkekuatan seramai 40 orang dari arah bukit di seberang sungai. 

Ekoran serangan tersebut, anggota platun dengan segera mencari perlindungan sambil memberi tembakan balas. Semasa pertempuran itu, Leftenan Muda Hassan gugur bersama anggota yang lain.

Sejurus gugurnya Leftenan Muda Hassan, Koperal Jamaluddin Muhamad mengambil alih tugas mengetuai platun terbabit. Beliau mengarahkan tembakan mortar 2 inci ke arah musuh, namun tembakan mortar sedikit tersasar ke pohon buluh. Selepas melepaskan dua butir peluru mortar, anggota seksyen mortar berkenaan terbunuh.

Semasa pertempuran, beberapa pengganas menghampiri anggota platun yang terbunuh dan tercedera kerana mahu mengambil senjata tetapi cubaan mereka dipatahkan.

Prebet Abdul Wahab Hamid pula menembak mati empat orang musuh yang cuba menyerang platun tersebut dari arah belakang. Selepas bertempur selama empat jam, Platun 12 terkepung dan hampir kehabisan peluru.

Apabila diminta menyerah diri, Korperal Jamaluddin menjawab, “Kami bukan pengecut, kami askar, kami tidak akan serah diri”

Semasa pertempuran berlaku, Sarjan Wan Yaacob, anggota-anggota bawahannya dan pekerja-pekerja Cina yang mengumpul daun-daun nipah telah terdengar bunyi tembakan dan beliau percaya bahawa Platun 12 tersebut telah diserang.

Beliau kemudiannya menyuruh agar pekerja-pekerja Cina berada di situ sementara beliau mengetuai anggota-anggota SC pergi ke lokasi serang hendap tersebut.

Sarjan Wan Yaacob dan anggotanya tiba di lokasi dan berpecah kepada dua kumpulan. Tujuh anggota kumpulan pertama SC telah diserang dan mengalami kecederaan semasa cuba menyeberangi sungai.

Manakala Sarjan Wan Yaacob dan anggota yang lain meninjau ke sisi kedudukan musuh di bahagian utara sungai. Mereka berjaya mengesan kedudukan penembak Bren-gun komunis dan menembak mati penembak tersebut.

Namun, mereka hanya melihat sahaja anggota Platun 12 yang ditawan musuh tanpa mampu berbuat apa-apa.

Mereka yang ditawan kemudiannya dibawa ke kem musuh dan dipaksa menyerahkan peralatan mereka. Mereka juga diberi amaran supaya berhenti menentang komunis.

Selepas dua jam, pihak musuh membuat keputusan melepaskan mereka. Kopral Jamaluddin dan anggotanya dihantar pihak musuh ke arah Pengkalan Pulai sebelum ditinggalkan separuh jalan.

Kumpulan yang keluar terdiri daripada Koperal Jamaluddin, Prebet Salleh Nahu, Prebet Zamzuri Itam Sudin, Prebet Nordin Md. Isa, Prebet Hussin Mamat, Lans Koperal Mohamad Othman, Prebet Ahmad Mat Jam, dan Prebet Mohd. Shariff Manaf.

Prebet Osman Yaacob meninggal dunia tidak lama selepas mereka tiba di Pengkalan Pulai pada pukul 9 malam.

Dua orang anggota Platun 12, Prebet Abdul Wahab dan Prebet Rashid Hassan yang cedera parah terpaksa ditinggalkan di lokasi pertempuran bersama mayat 14 rakan mereka yang terkorban.

Pada pukul 10 pagi, 27 Mac 1950, baharulah bantuan tentera dari Platun 11 dan pasukan Jungle Squad dari kem Gua Musang tiba untuk menyelamatkan mereka.

Dalam serang hendap di Sungai Semur ini, 17 orang anggota 3 RAMD terkorban dalam pertempuran menentang kira-kira 40 pengganas komunis sementara enam anggota cedera parah sementara dua lagi anggota mengalami cedera ringan.

Meskipun tewas, mereka menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi melawan pasukan musuh yang hampir dua kali ganda kekuatan mereka.

Malah mereka berjaya membunuh seramai 29 orang pengganas komunis. Mayat mereka dijumpai terkubur oleh Platun 11 3 RAMD.

Kepada rakyat Malaysia yang masih bernafas di tanah bertuah ini, contohi semangat juang mereka mempertahankan negara sehingga ke titisan darah terakhir.

No comments:

Post a Comment