Tuesday 25 May 2021

PENCAPAIAN WANITA DALAM KERJAYA SEMAKIN HEBAT


 Masih banyak orang beranggapan wanita tidak sesuai bekerja mencari rezeki di luar rumah. Wanita belum berkahwin dianggap hanya sesuai menjalankan tugas membantu keluarga di rumah untuk mendapat pengalaman menguruskan keluarga apabila berkahwin nanti. Sebab itu wujud pandangan negatif cuba menyekat kebebasan wanita dalam bidang pekerjaan.

Pendapat menghalang wanita bekerja sebenarnya didasarkan kepada tafsiran yang sempit. Wanita dikatakan tidak perlu mencari rezeki kerana lelaki yang wajib menyara isteri dan anak-anak. Tugas isteri lebih sesuai melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga anak.

Kewajiban suami menyara isteri dan anak-anak tidak dipersoalkan. Boleh dikatakan semua agama dan masyarakat meletakkan lelaki sebagai ketua keluarga dan bertanggungjawab mencari rezeki. Lelaki dilantik sebagai pemimpin perlu melaksanakan tugas mencari rezeki. Lelaki dilebihkan berbanding wanita antara lain kerana lelaki memberi nafkah kerana isteri.

Di sebalik pegangan dan tradisi itu, tidak ada ketetapan mengatakan wanita tidak dibenarkan bekerja. Malah, dalam konteks sekarang, wanita semakin menampakkan kemampuan dalam menerajui ekonomi rumahtangga. Sumbangan wanita sebagai pekerja dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan keluarga semakin ketara. 

Selari dengan peluang pendidikan yang dinikmati, wanita di negara kita mendapat pekerjaan yang baik. Keadaan ini jauh berbeza beberapa dekad lalu di mana wanita hanya terlibat dalam aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh keluarga seperti membantu melakukan kerja-kerja pertanian, penternakan, penghasilan produk kraftangan dan peruncitan. 

Pada peringkat awal, kebanyakan wanita hanya diamanahkan kerja pengkeranian di agensi kerajaan dan swasta. Satu lagi tugas yang sinonim dengan wanita ialah sebagai jururawat dan guru. Bidang pekerjaan lain amat sedikit diceburi wanita pada peringkat awal pascamerdeka.

Kini wanita sudah berada dalam semua bidang pekerjaan, walaupun mungkin masih tidak banyak. Wanita tidak asing lagi melakukan tugas kepolisan, tentera, bomba, jurutera dan sebagainya. Kini ada wanita menjadi juruterbang pesawat komersal, mengendalikan syarikat keselamatan dan menjadi CEO di syarikat gergasi yang majoriti pekerja lelaki.

Kehadiran wanita dalam kerjaya yang dimonopoli lelaki bukan sekadar nasi tambah, tetapi sudah banyak yang berjaya dilantik ke jawatan pengursan tertinggi.

Mereka turut terlibat dalam tugas mencabar dan bahaya. Contohnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menghantar anggota tentera wanita dalam pasukan pengaman dan pemerhati antarabangsa yang terdedahkan kepada pelbagai situsai bahaya. 

Sebenarnya, penyertaan golongan wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini adalah hanya 46 peratus, satu kadar paling rendah di rantau ini berbanding negara jiran pada 70 peratus. Peratusan ini boleh ditingkatkan jika situasi pekerjaan di negara kita ditambahbaik khususnya dari segi keterbukaan majikan menerima wanita sebagai pekerja. 

No comments:

Post a Comment